Ibu Menteri Kanan Kerja Raya meninggal dunia
BERNAMA
13/01/2021
KUCHING, 13 Jan -- Ibu Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Dayang Rosnah Abang Madeli, 90, meninggal dunia di kediamannya di PJ Heights, Petra Jaya di sini pada 6.30 petang tadi.
Fadillah berkata jenazah ibunya akan disolatkan di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma pada 9.30 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
"Kepada mereka yang ingin menziarahi Allahyarhamah, bolehlah ke Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma pada pagi esok,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.
Setiausaha Akhbar Fadillah, Misiah Taib, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarhamah meninggal dunia akibat sakit tua dan meninggalkan 13 anak.
"Datuk Seri Fadillah adalah anak kesembilan daripada 14 adik-beradik (namun) seorang anaknya (anak Allahyarhamah) meninggal dunia ketika berusia tujuh bulan,” katanya.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dukacita dimaklumkan bahawa Hajah Dayang Rosnah binti Abang Madeli, ibunda...
Posted by Fadillah Yusof on Wednesday, January 13, 2021