Translate

26 August 2019

TEKUN Mobile Mart tawar harga barang keperluan harian hingga 15 peratus lebih rendah

Rabu, 21 Ogos 2019 | 4:34pm




TEKUN MART Mobile inisiatif baharu dalam perniagaan barangan runcit. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

TEKUN MART Mobile tawar harga barang hingga 15 peratus lebih rendah



Oleh Suhaila Shahrul Annuar
suhaila.shahrul@bh.com.my





PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan melancarkan TEKUN MART Mobile yang membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.



Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata ia beroperasi dengan objektif mendekati pengguna melalui konsep kedai bergerak dengan menawarkan harga patut yang lebih murah dan kompetitif ke arah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam, daging, ikan dan barangan sejuk beku dengan lebih mudah.



“Ia juga akan menjadi ejen pembekal, pengedar dan pemasaran 40 peratus produk usahawan TEKUN Nasional dan selebihnya adalah produk keperluan lain di pasaran.



“Perniagaan menggunakan TEKUN MART Mobile ini akan mengurangkan kos bagi menjalankan sesebuah perniagaan kerana tiada sewa premis dikenakan serta lokasi perniagaan yang boleh berubah dan ditempatkan di lokasi yang berpotensi untuk jualan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran TEKUN MART Mobile di sini, hari ini.



Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli



Beliau berkata TEKUN MART Mobile akan menggunakan dua unit lori bersaiz tiga tan, dan satu unit bersaiz satu tan mula beroperasi di sekitar Putrajaya hari ini dan akan diperluaskan ke Bangi, Serdang, Kajang, Kuala Lumpur dan Puchong termasuk di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) serta pejabat kerajaan.



“Selepas ini, kita akan tambah perkhidmatan ini secara berperingkat di beberapa negeri seperti Melaka kerana modul ini perlu diteruskan di negeri lain memandangkan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.



“Program ini adalah bersifat dua dalam satu iaitu membantu usahawan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.



Katanya, sejak 1998 hingga Julai lalu, TEKUN Nasional memberi pembiayaan perniagaan kepada 432,959 usahawan di seluruh negara membabitkan nilai RM5.53 bilion.



“Ini menunjukkan TEKUN Nasional komited dalam membantu usahawan Melayu dan Bumiputera,” katanya

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED