Translate

30 August 2019

3 usahawan mikro Bumiputera TEKUN Nasional berjaya meraih potensi jualan berjumlah lebih RM1.932 juta pada hari pertama misi keusahawanan di Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019.

Khamis, 29 Ogos 2019 | 7:29pm








PENGERUSI dan Pengarah Urusan GWC, Nicko@Hla Wynn. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Produk usahawan TEKUN pikat syarikat penerbangan global


Daripada Che Wan Badrul Alias



YANGON: Tiga usahawan mikro Bumiputera TEKUN Nasional berjaya meraih potensi jualan berjumlah lebih RM1.932 juta pada hari pertama misi keusahawanan di Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019.

Prestasi itu susulan persetujuan Grand Wynn Group of Companies (GWC), gergasi pengilangan dan pengedaran produk makanan halal kedua terbesar Eropah dan Asia Barat, mengedarkan produk usahawan tempatan itu menerusi rangkaian antarabangsanya.

Pengerusi dan Pengarah Urusan GWC, Nicko@Hla Wynn, berkata kumpulannya merancang membekalkan produk biskut dan coklat keluaran Malaysia itu kepada pelanggan sedia ada termasuk syarikat penerbangan terkemuka global seperti Qatar Airways dan Saudi Airlines.



Katanya, produk usahawan tempatan itu menepati kualiti yang diperlukan kumpulan terutama status halal, selain membantu GWC menambah jumlah portfolio produk halal yang dapat ditawarkan kepada pelanggan sedia ada.



“Sebagai permulaan, kami sangat berminat dengan produk biskut dan coklat daripada Ryverra Chocolate & Confectionary Sdn Bhd, Bronis Sdn Bhd dan Jeiwa Global Resources untuk pelanggan syarikat penerbangan.

“Mereka perlu menepati standard syarikat penerbangan dengan mengkaji semula kandungan produk, tiada kandungan kacang dan mempakejkan semula produk pada kuantiti atau pek yang lebih kecil untuk diedarkan kepada pengguna,” katanya di sini.

Beliau ditemui pada Majlis Rangkaian Perniagaan dan Makan Malam bersama GWC sempena Program Promosi Keusahawanan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan TEKUN Nasional ke Yangon, Myanmar.

Turut hadir ialah Setiausaha Pertama Informasi dan Kebudayaan, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Tajul Ariffin; Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Myanmar, Azahar Mohamed; dan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pembangunan Usahawan, Imran Abdullah.

Program Promosi Usahawan itu dianjurkan sempena Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019 selama lima hari bermula Selasa lalu.

Di Myanmar, GWC kini adalah jenama pengeluar produk tenusu, makanan laut dan sejuk beku terkemuka negara itu dan terbabit membawa masuk produk jenama SAJI dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada 2011.

Sementara itu, Imran berkata, potensi perniagaan yang diraih semalam membabitkan potensi tempahan produk Ryverra Chocolate & Confectionary sebanyak dua kontena, Bronis dengan 10 kontena, dan Jeiwa Global pula mencecah 24 kontena.

Beliau yang juga ketua delegasi usahawan TEKUN berkata, tempahan sebesar itu menunjukkan produk usahawan mikro Bumiputera TEKUN memiliki kekuatan untuk dipasarkan ke luar negara.

“Prestasi usahawan mikro tempatan ini sangat membanggakan dan apa yang berlaku dengan GWC adalah tidak terjangkau fikiran kita bahawa usahawan ini mampu pergi sejauh itu meyakinkan syarikat pembekal global meneroka akses pasaran antarabangsa.

“Kebanyakan produk yang diambil seperti biskut, tart dan coklat bukan hanya untuk pasaran Myanmar, malah GWC mahu mengedarkannya kepada syarikat penerbangan yang akan membawa produk tempatan ini kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED