Translate

30 August 2019

69 selebriti mohon rumah PPR


69 selebriti mohon rumah PPR



Oleh Hanisah Selamat

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima 69 permohonan daripada golongan selebriti kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri menerusi Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Harapan.



Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya memberi keutamaan kepada penggiat seni memandangkan mereka turut menyumbang kepada sektor ekonomi, namun masing-masing tetap perlu melepasi saringan seperti pemohon lain, terutama di bawah syarat belum mempunyai kediaman.




"Artis yang dicadangkan untuk mendapat insentif perumahan itu adalah rujukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) dan persatuan lain yang sememangnya layak memohon.



"Begitupun, 19 daripada permohonan itu terpaksa ditolak kerana mereka sudah memiliki rumah, manakala 50 lagi masih dalam proses pemilikan sebelum dapat dipindahkan ke Lembah Subang 2, secara berperingkat.



"Penyanyi, Shima, antara artis yang akan tinggal dalam komuniti di situ sebaik sahaja kami menyerahkan kunci," katanya selepas majlis penyerahan kunci unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, di sini, hari ini.



Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT, Datuk Dr Mary Wong Lai Lin; Timbalan Ketua Pengarah KPKT, Dr Alauddin Sidal; dan Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave.



Julai lalu, Shima atau Ku Nazhatul Shima Kamarazzaman, 50, yang dikategorikan sebagai golongan asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), menyuarakan hasrat mendapatkan rumah PPR kerana tidak lagi mampu membayar sewa pangsapuri sebanyak RM600 sebulan.



Penyanyi Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin itu mengidap pelbagai penyakit, termasuk saraf tulang belakang tersepit, yang membataskan pergerakan selain masalah pundi kencing.



Suaminya, Abdullah Rosli, 42, turut berhadapan penyakit serupa hingga tidak dapat bekerja mahu pun melakukan tugasan berat disebabkan impak kemalangan, beberapa tahun lalu.



Mengulas mengenai penyerahan kunci rumah terbabit, Shima berkata, ia memberi sinar baharu buat dirinya, apatah lagi unit sewaan pada kadar RM255 sebulan itu adalah pada aras paling bawah yang tidak memerlukannya menggunakan tangga.



"Alhamdulillah, proses ini dipermudahkan dan saya rasa sangat bertuah. Ada yang kena menunggu bertahun-tahun. Walaupun belum tahu jumlah wang deposit, saya sangat bersyukur.



"Kalau boleh, kami mahu segera berpindah, tetapi sebelum itu kena cukupkan dahulu wang deposit. Tambahan pula, kami juga perlu membayar lori untuk memindahkan barang," katanya lagi.



Seperti penyewa lain dalam program sama, penyanyi itu tidak boleh culas membayar sewa rumah selama dua tahun sebelum dipertimbangkan untuk membeli unit diduduki pada harga RM190,000.


1879 dibaca


MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, menyerahkan surat tawaran Program Rumah Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya, kepada penyanyi, Shima, di Putrajaya, sambil disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Mary Wong Lai Lin dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED