Translate

16 August 2019

Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik memberi keterangan lebih 5 jam di Bukit Aman bagi membantu siasatan kerana membuat kenyataan kontroversi.


Zakir Naik beri keterangan lebih 5 jam di Bukit Aman
Adam Abu Bakar
-August 16, 2019 8:50 PM

Zakir menaiki Toyota Innova meninggalkan perkarangan Bukit Aman kira-kira 8.15 malam ini.

KUALA LUMPUR: Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik memberi keterangan lebih 5 jam di Bukit Aman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan kontroversi.

Naik hadir sekitar 3 petang tadi dan dilihat meninggalkan perkarangan Bukit Aman dengan menaiki Toyota Innova kira-kira 8.15 malam ini.

Beliau yang berkemeja putih dan berkopiah bagaimanapun enggan bercakap kepada wartawan, walaupun kenderaannya disekat.

Naik dan keluarganya terpaksa membatalkan hasrat menyertai program “Malaysia Reverts Camp 2019” di Perlis hari ini, selepas polis negeri melarang mereka berucap atau memberi ceramah di negeri itu.

Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd dilaporan berkata, lebih 150 laporan dibuat terhadap Naik setakat ini, susulan kenyataan kontroversinya dalam satu siri ceramah di Kelantan minggu lalu yang mencetuskan ketegangan kaum.

Desakan untuk Naik dihantar pulang ke India meningkat, susulan ceramahnya di Kelantan yang mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Naik yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan mempunyai status penduduk tetap di Malaysia turut dilaporkan berkata, orang Cina juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Tetapi, Naik semalam berkata, komennya mengenai orang Cina bertujuan “menempelak ahli politik Cina berpengaruh” yang bersetuju dengan pihak yang menggelarnya “tetamu” di Malaysia.

Beliau turut menyalahkan mereka yang membencinya memetik ceramahnya di luar konteks demi memfitnahnya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata polis akan memanggil Naik, kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan taikun Perak, Koon Yew Yin selepas menerima beberapa laporan berhubung kenyataan mereka.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan ialah sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED