Translate

18 February 2018

Isu diplomat Israel: Selaku tuan rumah M’sia tiada pilihan, terpaksa akur PBB?

Image result for david roet malaysia
Isu diplomat Israel: Selaku tuan rumah M’sia tiada pilihan, terpaksa akur PBB?
- @global
-February 18, 2018

BEKAS duta Israel ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), David Roet dipetik berkata, mereka menggunakan “tekanan diplomatik terperinci” agar dapat hadir menyertai sidang Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di Kuala Lumpur.

Menurut laporan The Jurusalem Post, para diplomat Israel membawa perkara ini ke pejabat Setiausaha Agung PBB.

Akhirnya kehadiran diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) pada 7-13 Februari lepas yang dikatakan bukan atas jemputan Kerajaan Malaysia, menjadi kontroversi dan dikecam pembangkang khususnya.

WUF merupakan forum teknikal bukan perundangan dianjurkan setiap dua tahun bertujuan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman berkaitan cabaran perbandaran.
WUF dihadiri wakil 185 negara dan selaku tuan rumah kali ini, Malaysia disyaratkan meluluskan visa semua perwakilan.
Roet turut mengadakan pertemuan dengan pegawai tinggi di Malaysia, namun tiada perbincangan hubungan Israel dengan negara ini.

Chandra Muzaffar: Selaku Tuan Rumah M’sia Tiada Pilihan




Dalam kenyataan penganalisis politik antarabangsa, Dr Chandra Muzaffar kepada Sinar Harian pada Jumaat, sebagai tuan rumah kepada forum berkenaan, Malaysia tiada pilihan selain memenuhi syarat ditetapkan penganjur UN-Habitat tersebut.

“Ini bermakna bukan Malaysia menjemput Israel atau menyediakan platform untuk mereka datang. Sebagai tuan rumah, Malaysia harus mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk membenarkan kemasukan diplomat Israel,” kata Chandra memetik laporan portal tersebut.
Menurut Chandra lagi, ini tidak bermaksud Kerajaan Malaysia mengiktiraf kekejaman Israel ke atas Palestin.
“Kehadiran mereka bukan langkah awal buat Malaysia membuka pintu kepada Israel,” tambah Chandra, sebaliknya, menurut beliau Malaysia tetap dengan pendiriannya berkaitan isu Palestin.

Tan Sri Razali Ismail: Tiada Negara Dapat Desak M’sia Iktiraf Israel

Sementara, bekas presiden Perhimpunan Agung PBB Tan Sri Razali Ismail memberitahu Malaysiakini, meskipun tiada negara dapat mendesak Malaysia mengiktiraf Israel, pihak berkuasa terpaksa membenarkan sebarang wakil negara anggota PBB ke dalam negara ketika ia menganjurkan majlis berkaitan.
Memberitahu Malaysiakini, Razali berkata, “pokoknya kamu jangan benci rakyatnya. Kamu boleh benci (Perdana Menteri) Netanyahu, kamu boleh benci rejim pemerintahannya, tetapi tiada negara yang patut membenci rakyat negara lain.”

Jika Enggan, PBB Boleh Batal Sidang — Bekas Duta M’sia Ke Chile

Sementara, bekas duta Malaysia ke Chile dan Argentina Datuk Dennis Ignatius pula berkata jika Malaysia enggan membenarkan kemasukan diplomat Israel itu, PBB akan menuntut Malaysia memenuhi syarat penganjuran sidang PBB.

“Jika Malaysia enggan, PBB boleh batal sidang tersebut,” ujar Dennis, menambah Israel boleh tekan AS untuk menekan Malaysia agar patuh peraturan antarabangsa berkaitan persidangan PBB.

Jika Jadi Kerajaan, Pembangkang Kena Akur Juga Dengan PBB — Bekas Duta M’sia ke Belanda

Memetik kenyataan bekas duta Malaysia ke Belanda merangkap pemimpin NGO G25 Datuk Noor Farida Ariffin meminta pembangkang perlu berhati-hati menyuarakan isu ini demi meraih sokongan politik.

Tambah Noor Farida, “jika mereka membentuk kerajaan mereka juga termaktub di bawah peraturan PBB yang sama berkaitan penyertaan Israel dalam majlis antara bangsa anjuran Malaysia.”

Jangan Sembuyikan — Bekas Duta M’sia ke Uzbekistan

Manakala, bekas duta Malaysia ke Uzbekistan Datuk Redzuan Khushairi mempersoalkan “kerahsiaan” isu diplomat Israel itu ditangani.

Redzuan bertanya kenapa perlu disembunyikan atau “kelihatan bersembunyi” ke atas isu tersebut, sebaliknya beiau mahu ia ditangani secara bertanggungjawab dan telus.

“(Pada) zaman Internet dan media sosial (ini), mereka lebih tahu, cuba menyembunyikan sesuatu akan menyebabkan mereka dilihat teruk,” kata Redzuan. –Sarawakvoice

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED