KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyifatkan tindakan pihak Jabatan Imigresen menetapkan pengecualian visa kepada pelancong dari China secara berkumpulan boleh menggagalkan usaha menarik pelancong dari negara tersebut untuk melawat Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihak Imigresen telah menyukarkan usaha kerajaan dengan mensyaratkan sekurang-kurangnya seramai 20 orang pelancong dari China yang datang secara berkumpulan sahaja akan diberikan pengecualian visa.
“Amat mendukacitakan apabila syarat-syarat yang begitu ketat telah diberikan oleh pihak Imigresen bagi melaksanakan keputusan Kabinet untuk memberi pengecualian visa kepada pelancong dari China.
“Pihak Imigresen tidak membantu dalam memudahkan kedatangan pelancong dari China ke negara kita.
“Dalam usaha negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Brunei menghapuskan visa, Malaysia mengetatkan lagi dan tidak melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Kabinet,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di persidangan Dewan Rakyat, Penggal Ketiga di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook (DAP) yang meminta penjelasan menteri berhubung usaha kerajaan dalam menarik pelancong dari China dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat negara itu selepas insiden yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 pada Mac tahun lalu.
Siew Fook turut mencadangkan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan supaya melantik penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah sebagai duta negara ke China ekoran pengaruh yang dimiliki penyanyi itu di negara berkenaan.
Menjawab cadangan tersebut, Nazri menjelaskan pihaknya menyambut baik cadangan tersebut dan bersetuju sekiranya Shila Amzah dilantik sebagai duta Malaysia ke China.
“Saya amat bersetuju dengan cadangan berkenaan (lantik Shila Amzah sebagai duta). Kami akan memberikan pertimbangan sewajarnya dan berunding dengan pihak pelancongan Malaysia...
“Insha Allah ia boleh dilaksanakan,” ujarnya.
- mD