Ibu Peneman Tasha Shilla
- Details
- Published on Friday, 02 October 2015 12:25
Selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi dan isu panas sejak kebelakangan ini membuatkan pelakon Tasha Shila kini lebih berhati-hati dan mendalami apa yang berlaku dalam perjalanan karier seninya.
Meskipun menerima pelbagai tomahan dan kritikan pedas sesetangah pihak, dia tetap tabah menghadapi perkara tersebut yang disifatkan sebagai ujian dalam hidupnya.
"Setiap hari saya belajar, menjadi yang lebih baik. Saya tidak ambil pusing dengan tomahan orang terhadap diri saya.
"Saya anggap ujian dalam hidup saya. Ibu saya adalah kekuatan saya untuk saya hadapi semua ini. Sekarang ni pun dia kembali ikut dan jaga jadual kerja saya sebab saya sekarang dah susah nak percaya orang luar.
"Senang berkerja dengan ahli keluarga sendiri. Lagipun ibu saya kenal dan tahu luar dalam anak dia macam mana," katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2015 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tasha juga memberitahu buat masa ini dia memperlahankan aktiviti lakonannya kerana ingin berehat selepas terlalu sibuk dengan penggambaran.
Katanya, jika dia kembali aktif berlakon kelak, dia mahu bersikap lebih memilih dari segi skrip dan watak serta memastikan dia benar-benar selesa suasana persekitaran kerjanya.
"Saya tolak banyak tawaran sebab buat masa ini saya mahu berehat. Lagipun sekarang saya lebih memilih dari segi skrip dan watak.
"Saya juga mahu suasana kerja yang selesa dan baik terutama dengan pihak produksi," katanya.
Sementara itu, ibunya sempat mencelah memberitahu Tasha juga menolak satu tawaran berlakon telefilem di Indonesia.
"Ya, ada tawaran dari sana. Saya ditawarkan berlakon telefilem bersama antara pelakonnya, Bunga Cinta Lestari dan Redza Minhat tetapi saya belum terbuka lagi untuk terima tawaran dari sana
"Sebab, bila kita berlakon, kita kena buat dari hati. Kalau hati kita masih lagi was-was, baik saya tolak dulu.
"Saya percaya rezeki saya dalam bidang lakonan ini tetap ada. Kita tunggu," katanya.
Diusikkan dengan pertanyaan mengenai cinta, Tasha menyatakan dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk kembali menjalinkan hubungan percintaan.
Cuma, buat masa ini dia belum bertemu lelaki yang sesuai.
"Saya tak tutup pintu hati saya. Pada saya, janji lelaki itu terima saya seadanya, jujur dan sanggup mempertahankan masa depan cinta kami, itu sudah cukup," katanya.
- mD