Ketiga-tiga suspek turut menya­mar sebagai seorang berpangkat Datuk dan Datuk Seri semata-mata mahu meyakinkan individu yang menjadi mangsanya di laman sosial.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, kesemua suspek berusia yang masing-masing berumur 20 sehingga 39 tahun itu ditangkap hasil maklumat dan risikan yang diterima pihaknya sejak hujung tahun lalu.
Menurut beliau, dengan penangkapan ketiga-tiga suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 126 kes penipuan yang dilaporkan di Lembah Klang sejak penghujung tahun lalu sehingga kini.

“Sindiket terbabit akan mencari mangsa yang mengiklankan kende­raan untuk dijual menerusi Internet. Anggota sindiket kemudian menghubungi mangsa dan menyamar sebagai broker jual beli kenderaan.
“Kesemua mangsa yang terpe­daya merupakan pemilik kenderaan yang ingin mencari pembeli kereta mereka,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini

Mengulas lanjut, Hong Soon memberitahu, sindiket yang mula aktif sejak tahun lalu itu kemudian akan menawarkan harga yang tinggi kepada pemilik kenderaan di samping berjanji akan menjelaskan baki hutang yang masih ada dengan pihak bank.'

“Pemilik tersebut akan diberi bayaran separuh daripada harga kenderaan terbabit dan mangsa menyedari mereka telah ditipu apabila mereka masih menerima panggilan daripada pihak bank meminta mereka menjelaskan ansuran bulanan yang tertunggak.

“Apabila mangsa meminta kereta mereka dikembalikan, pihak syarikat memberikan pelbagai alasan serta meminta mangsa menjelaskan bayaran yang tinggi untuk mendapatkan kenderaan itu semula,” ujarnya.
Tambah Hong Soon, dalam serbuan itu, polis turut merampas 27 buah kereta mewah pelbagai jenis di premis syarikat terbabit.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hong Soon turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terutama yang ingin menjual dan mengiklankan jualan kenderaan di Internet bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai sewajarnya perlu menyiasat latar belakang syarikat sebelum menjual kereta mereka untuk mengelak daripada diperdaya oleh sindiket penipuan jual beli kereta terpakai.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang ke­giatan sebegini boleh menyalurkan maklumat tersebut dengan menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” katanya.