Translate

08 September 2014

Juara One in A Million Suki Low Hamil Anak Lelaki

Suki Low Hamil Anak Lelaki

Sudah lama kita tidak mendengar cerita mengenai juara program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama, Suki Low. Ketika berpeluang bertemu pelantun lagu ‘Terlalu Mencintaimu’ ini di majlis pelancaran kempen dan lagu ‘Salute Malaysia’ baru-baru ini, GUA agak terkejut apabila mengetahui yang Suki kini sedang hamil enam bulan setengah.
“Kandungan saya sudah mencecah 26 minggu. Setakat ini tidak ada sebarang alahan dan saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. Saya rasa gembira sangat dan ia sesuatu yang menakjubkan apabila mengetahui ada satu ‘nyawa’ lain dalam badan saya,” tutur gadis berusia 25 tahun ini sambil memberitahu tidak berniat untuk menyembunyikan berita kehamilannya kepada peminat.
“Saya tak merancang pun nak sembunyi berita kehamilan saya. Cuma saya tak umumkan diri saya mengandung sebab perkara ini agak peribadi buat saya lebih-lebih lagi ia melibatkan hal keluarga. Salah satu sebab saya tidak berkongsi kepada semua juga adalah kerana saya mahu proses kehamilan saya berlaku secara normal. Bagi saya, biarlah khabar gembira ini diketahui dengan sendirinya dan bukan melalui pengumuman rasmi daripada kami,” ujar Suki lagi.
Berkongsi mengenai pengalaman sepanjang tempoh kehamilannya itu, Suki memberitahu sejak mengandung, seleranya kini berubah menjadi  seorang vegetarian, walhal sebelum ini dia tidak mempunyai masalah untuk makan daging. Dijangka bersalin pada Disember ini, Suki ketika ditemui turut memberitahu menerusi hasil ujian imbasan yang dilakukan, doktor mengesahkan bahawa dia bakal melahirkan bayi lelaki. 
“Dari awal kehamilan lagi naluri saya kuat mengatakan saya sedang mengandung anak lelaki. Walau bagaimanapun saya tidak kisah sangat soal jantina anak, asalkan bayi yang dilahirkan nanti sihat, itu sudah memadai. Tidak dinafikan saya begitu teruja kerana bayi kami dijangka akan lahir empat hari sebelum hari lahir saya yang jatuh pada 11 Disember. Mana tahu, kalau dia keluar lambat sikit, mungkin kami boleh berkongsi hari lahir yang sama,” tutur Suki sambil mengakui sudah memilih beberapa nama untuk cahaya mata sulungnya itu.
Sebelum mengakhiri bicara, Suki turut berkongsi yang dia akan berpantang selama sebulan dan bakal dijaga oleh ibu mertuanya sepanjang tempoh tersebut. Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee mendirikan rumahtangga dengan pengurusnya, Jeremy Chong pada 12 Disember 2012 dalam satu majlils tertutup di Pulau Pinang.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED