Translate

06 February 2025

Nahas helikopter: Pengawal keselamatan selamatkan juruterbang



Nahas helikopter: Pengawal keselamatan selamatkan juruterbang

Astro Awani

06/02/2025


Juruterbang helikopter, Kustiyadi, 44 tahun, terselamat dalam kejadian itu dengan hanya mengalami kecederaan ringan. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI


BENTONG: Tindakan pantas seorang pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan juruterbang helikopter yang terhempas di Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, pengawal itu segera pergi ke lokasi nahas dan mengeluarkan mangsa sebelum api merebak.

“Sebaik melihat kejadian, dia segera menarik juruterbang keluar dari helikopter yang sedang terbakar.

“Selepas itu, barulah tindakan menghubungi pihak bomba dilakukan,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Tambah beliau, pasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan berjaya memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.

Pada pagi Khamis, helikopter Bell 206L-4 Long Ranger dengan nombor pendaftaran PK-ZUV yang dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad terhempas di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong.

Pesawat itu dilaporkan sedang menjalankan penerbangan kerja udara sebelum kembali ke lokasi pendaratan untuk mengisi minyak.

Juruterbang helikopter, Kustiyadi, 44 tahun, terselamat dalam kejadian itu dengan hanya mengalami kecederaan ringan.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Finsen Reskey Sembiring, seorang jurutera warga Indonesia berusia 27 tahun.










Nahas helikopter: Mayat mangsa dibawa keluar, dihantar ke Hospital Bentong

Astro Awani

06/02/2025


Pihak berkuasa mengeluarkan mayat mangsa dan menjalankan siasatan di lokasi kejadian. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI


BENTONG: Mayat mangsa kejadian helikopter terhempas di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong telah dibawa keluar oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dihantar ke Hospital Bentong untuk proses siasatan lanjut.

Proses pemindahan dilakukan sekitar jam 4 petang selepas pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Finsen Reskey Sembiring, seorang jurutera warga Indonesia berusia 27 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika helikopter Bell 206L-4 Long Ranger itu sedang mendarat untuk mengisi minyak.

Tambah beliau, berdasarkan keterangan dua saksi, kejadian berlaku ketika pesawat menghampiri kawasan pendaratan.

“Ketika berada pada ketinggian kira-kira tiga kaki, skid (kaki gelongsor) helikopter itu bergesel dengan permukaan bumi lalu terbalik,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Juruterbang helikopter, Kustiyadi, 44, terselamat dalam kejadian itu dengan hanya mengalami kecederaan ringan.

Dia turut dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, helikopter Bell 206L-4 Long Ranger dengan nombor pendaftaran PK-ZUV yang dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad itu terhempas di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong pada pagi Khamis.

Pesawat itu dilaporkan sedang menjalankan penerbangan kerja udara sebelum kembali ke lokasi pendaratan untuk mengisi minyak.

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED