Lelaki ditahan cabul anak saudara 14 tahun
BULETIN TV3
23 Februari 2025

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul kehormatan anak saudara perempuan berumur 14 tahun, di sebuah rumah di Merotai Besar di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 9.12 pagi semalam.
Menurutnya, susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis diketuai Sarjan Gegerahman Mohammad menahan suspek yang berusia 30 tahun, jam 3.30 petang hari sama.
“Berdasarkan keterangan mangsa, kanak-kanak itu dipercayai dicabul oleh bapa saudaranya semasa dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah neneknya di Merotai Besar di sini.
“Suspek didakwa mendekati mangsa lalu bertindak mencabul mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Jasmin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.