Translate

07 December 2024

'Hina' penjual air teh: Prabowo sokong peletakan jawatan Gus Miftah



'Hina' penjual air teh: Prabowo sokong peletakan jawatan Gus Miftah

Bernama

07/12/2024


Gus Miftah (dua, kiri) dilaporkan menghina seorang penjual teh ais semasa ceramah di Magelang, Jawa Tengah bulan lalu. - Gambar fail


JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyokong keputusan Miftah Maulana Habiburrahman, yang lebih dikenali sebagai Gus Miftah untuk meletak jawatan sebagai Utusan Khas Presiden bagi Kerukunan Beragama dan Pembinaan Kemudahan Keagamaan, berikutan tularnya sebuah video yang menunjukkan beliau menghina seorang penjual teh ais.

Prabowo menyifatkan peletakan jawatan itu sebagai satu tindakan bertanggungjawab, sambil menekankan bahawa walaupun Gus Miftah mungkin tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa, beliau telah mengakui kesilapannya.

"Beliau menyedari kesilapannya, lalu mengambil sepenuh tanggungjawab dan memilih untuk mengundurkan diri. Tindakan itu kami hargai.

"Di Indonesia, jarang sekali seseorang secara sukarela meletak jawatan akibat kesilapan mereka," kata Prabowo di Istana Merdeka pada Jumaat malam, menurut kenyataan dari Sekretariat Presiden.

Prabowo juga mengesahkan bahawa pengganti Gus Miftah akan dilantik dalam waktu terdekat, manakala isu tauliah mengajar agama bagi penceramah akan dibincangkan bersama pihak berkepentingan, termasuk Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Gus Miftah, seorang penceramah terkenal meletakkan jawatan selepas video yang menunjukkan beliau menghina seorang penjual teh ais semasa ceramah di Magelang, Jawa Tengah bulan lalu, mendapat kritikan meluas.

Gus Miftah telah memohon maaf ketika mengunjungi rumah penjual di Magelang pada Rabu dan kedua-duanya berdamai.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED