Xi, Modi adakan pertemuan rasmi pertama dalam tempoh 5 tahun
Bernama
24/10/2024
Modi (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Xi ketika kedua-dua pemimpin dunia itu bertemu di luar Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia, pada Rabu. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Rabu menegaskan, bahasa hubungan dua hala yang "stabil" akan "menyumbang" kepada dunia berbilang kutub dan memberi "kesan positif kepada keamanan serta kemakmuran serantau dan global," lapor Agensi Anadolu (AA).
Kedua-dua pemimpin bertemu dalam pertemuan rasmi pertama mereka dalam tempoh lima tahun di luar Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia.
Pertemuan itu diadakan dua hari selepas Beijing dan New Delhi mencapai persetujuan untuk menamatkan pertikaian sempadan antara kedua-dua tentera di timur Ladakh.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar India berkata, pemimpin kedua-dua negara jiran Himalaya itu mengalu-alukan perjanjian untuk pembebasan sepenuhnya dan penyelesaian pertikaian sempadan.
Modi menekankan "kepentingan mengendalikan perbezaan dan pertikaian secara bijaksana dan tidak membiarkannya mengganggu keamanan dan ketenteraman."
Kenyataan itu juga menambah bahawa wakil khas bagi isu sempadan India-China akan bertemu pada tarikh terdekat untuk mengawasi pengurusan keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan dan untuk "meneroka penyelesaian yang adil, munasabah dan boleh diterima bersama untuk persoalan sempadan."
Dua negara paling ramai penduduk di dunia ini terlibat dalam pertikaian sepanjang 3,500 kilometer (2,174 batu) LAC -- sempadan de facto antara India dan China di kawasan Ladakh di Jammu dan Kashmir yang dipertikaikan -- sejak Mei 2020.
Sekurang-kurangnya 24 askar, termasuk 20 dari India, terbunuh dalam pertempuran secara fizikal pada tahun itu, yang dikenali sebagai "pertempuran Galwan."
Bagaimanapun, pada Isnin, India mengumumkan pakatan sempadan itu, membuka jalan bagi kedua-dua pemimpin itu bertemu di luar Sidang Kemuncak BRICS yang dihadiri wakil dari 32 negara, termasuk 24 pemimpin negara, menurut Kremlin.
Xi dan Modi "menggariskan keperluan untuk memajukan hubungan dua hala dari perspektif strategik dan jangka panjang, meningkatkan komunikasi strategik dan meneroka kerjasama untuk menangani cabaran pembangunan," tambah kenyataan itu.
"Kedua-dua negara juga mesti memikul tanggungjawab antarabangsa mereka, dan menunjukkan contoh dalam meningkatkan kekuatan dan perpaduan negara membangun," Xi memberitahu Modi.
BRICS, yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, baru-baru ini berkembang dengan kemasukan Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.
- BERNAMA