Translate

27 October 2024

'Nama saya hanya Hasmah, bukan Siti Hasmah'



'Nama saya hanya Hasmah, bukan Siti Hasmah'

Astro Awani

27/10/2024


Dr Hasmah (kiri) dan Dr Mahathir (tengah) ketika ditemu bual dalam podcast 'Coffee with Ryan' disiarkan dalam Instagram Pusat Perubatan Prince Court. - Foto/ Tangkap layar video IG Prince Court


KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu mendedahkan 'rahsia' namanya yang sebelum ini dikenali sebagai Siti Hasmah.

Menurut Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, nama sebenarnya tidak mempunyai 'Siti' sebaliknya hanya Hasmah.

Jelasnya, 'gelaran' tersebut diberikan selepas beliau dan Dr Mahathir berpindah dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur.

"Saya perlu betulkan... Saya bukan Siti. Saya tidak dilahirkan sebagai Siti Hasmah (diberi nama). Saya hanya lahir (dengan nama) sebagai Hasmah," katanya ketika ditemu bual dalam podcast khas, 'Coffee with Ryan' yang disiarkan dalam Instagram Pusat Perubatan Prince Court, semalam.

Berkongsi lanjut perkara itu, Dr Hasmah yang merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak pada tahun 1970, berkata gelaran Siti timbul kerana ketika itu ia menjadi fenomena.

"Ada Siti Nurhaliza (kemudian), ada Siti itu, ada Siti ini. Jadi mereka letakkan nama Siti di depan nama saya. Tetapi saya tidak (Siti Hasmah), saya hanya Dr Hasmah," tambah wanita berusia 98 tahun itu.

Sehubungan itu, Dr Hasmah meminta orang ramai supaya tidak memanggilnya dengan permulaan 'Siti'.

Selain pendedahan tersebut, podcast yang turut menampilkan Dr Mahathir antara lain membincangkan mengenai aspek kesihatan dan rahsia kebahagiaan rumah tangga pasangan tersebut.

Dr Hasmah berkata untuk mendirikan rumah tangga, seseorang itu perlu mencari pasangan yang baik dan saling mempercayai satu sama lain.

Dr Mahathir dan Dr Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956.


.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED