Translate

28 October 2024

KPDN laksana pemantauan pastikan peniaga patuh SHMMP Deepavali 2024



KPDN laksana pemantauan pastikan peniaga patuh SHMMP Deepavali 2024

Bernama

28/10/2024


KPDN melaksanakan pemantauan ketat dengan menugaskan pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, dan pusat beli-belah untuk memastikan pematuhan SHMMP. -Gambar fail/FB KPDN Kelantan


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024, yang berkuat kuasa tujuh hari bermula hari ini.

KPDN melaksanakan pemantauan ketat dengan menugaskan pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, dan pusat beli-belah untuk memastikan pematuhan SHMMP.

Lapan barangan termasuk bawang merah besar import, kacang dal Australia, bawang merah kecil India, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji, kelapa parut, dan tomato disenaraikan dalam skim ini.

Setakat ini, ribuan premis telah diperiksa dengan ratusan kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, melibatkan jumlah sitaan dan kompaun yang signifikan.

SHMMP Deepavali 2024 menyaksikan lapan barangan iaitu bawang merah besar import, kacang dal Australia, bawang merah kecil India termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji dan kelapa parut serta tomato disenaraikan dalam skim itu.

Di PULAU PINANG, Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 62 pegawai pemantau harga ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah yang menjual barangan keperluan perayaan.

Tindakan itu bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan selain tindakan segera boleh diambil terhadap aduan pengguna atau ke atas peniaga, jika berlaku ketidakpatuhan terhadap pelaksanaan skim tersebut.

Beliau juga memaklumkan setakat semalam, 44,080 premis sekitar negeri ini telah diperiksa tahun ini dengan 557 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan jumlah sitaan RM1.96 juta dan kompaun RM 250,250.

Sementara itu, di PERAK, Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata seramai 169 penguat kuasa dan 70 pegawai pemantau harga akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan sepanjang pelaksanaan SHMMP itu.

Di KELANTAN, Pengarah KPDN negeri Azman Ismail memaklumkan bekalan barangan keperluan bagi perayaan Deepavali yang disambut Khamis ini, adalah mencukupi dan pemantauan bagi skim itu melibatkan 144 pegawai penguat kuasa dan 84 pegawai pemantau harga di seluruh negeri.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED