Translate

17 October 2024

Polis lepas tiga tembakan, seorang lelaki ditahan



Polis lepas tiga tembakan, seorang lelaki ditahan

Bernama

17/10/2024

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar ketika ditemui pengamal media pada Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di kawasan sebuah apartment di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini semalam.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata dalam kejadian 6.50 petang itu pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan merampas 296 gram dadah jenis heroin.

"Semasa rondaan kereta peronda polis (MPV) polis mendapati suspek yang membawa kereta terbabit berada dalam keadaan mencurigakan. MPV ini menghampiri kereta suspek dan mengarahkannya berhenti sebelum dia melarikan diri bersama kereta berkenaan.

"Selepas kira-kira lima minit mengejar, kereta suspek berhenti di sebuah kawasan parkir. Pihak polis ingat dia sudah berhenti (tidak lagi melarikan diri), polis pun pergi untuk menahannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kumar berkata suspek kemudian sekali lagi bertindak melarikan diri dengan memandu melawan arus sebelum melanggar tiga kenderaan lain dan pihak polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan bagi menghalang suspek terus melarikan diri.

Beliau berkata lelaki itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai 16 rekod jenayah dan kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Okt.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Kumar dalam ucapannya berkata sejak Januari hingga bulan lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor menumpaskan 19 sindiket Calling Center yang menjalankan aktiviti penipuan pelaburan, tawaran kerja, menyamar sebagai rakan, pinjaman tidak wujud dan phone scam.

"Dalam tempoh itu, 156 suspek ditangkap melibatkan warga tempatan dan juga warga asing dengan 19 kertas siasatan dibuka dan tujuh daripadanya telah dituduh di mahkamah," katanya.

Kumar berkata sepanjang itu juga jumlah kes jenayah indeks dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor menunjukkan peningkatan 5.61 peratus bersamaan 4,027 kes berbanding 3,813 kes bagi tempoh sama pada 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan kes jenayah indeks di kontinjen Johor adalah terkawal dan JSJ Johor berjaya menyelesaikan 62.63 peratus daripada kes yang disiasat.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED