Banjir: Ratusan rumah dinaiki air di Ipoh, penduduk dakwa kali pertama sejak lebih 25 tahun
Astro Awani
01/12/2024
Penduduk di Taman Arena Kepayang Putra meredah air dan menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting apabila taman mereka dilanda banjir hari ini. - Bernama
IPOH: Hujan lebat berterusan menyebabkan ratusan rumah penduduk di Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh pada Ahad dinaiki air setinggi kira-kira 1.2 meter.
Kejadian sekitar jam 1 petang itu disifatkan penduduk sebagai di luar jangkaan apabila kali pertama berhadapan banjir dalam tempoh 28 tahun mendiami perumahan terbabit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pasukan penyelamat berusaha membawa keluar kesemua mangsa yang masih terperangkap dalam banjir.
"Ini adalah kawasan perumahan awam dengan kepadatan kawasan rumah ini lebih kurang 500 unit. Kita sekarang sedang membuat kerja penyelamatan membawa keluar mangsa mangsa banjir apabila melihat paras air semakin meningkat.
"Pada masa ini hujan telahpun berhenti dan paras air pun semakin menyusut tapi kita fokuskan untuk kerja penyelamatan ini. Saya minta supaya kita jalankan dengan secepat mungkin.
"Tempat ini pun penduduk kata 25 tahun duduk sini tak pernah naik air tapi kerana paras Sungai Kinta meningkat dan tebatan banjir pecah itu sebab air masuk," ujar Sayani saat ditemui petugas media di Arena Kepayang Putra di sini pada Ahad petang.
Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan taman itu dilanda bah setinggi paras dada malah ada kenderaan telah ditenggelami air hingga paras cermin kereta. - Bernama
Bagi pesara jururawat, Chong Yet Yong, 71, dia memberitahu bawaha segala kelengkapan rumahnya seperti peti ais dan mesin basuh rosak dan terbalik susulan rumahnya dinaiki air.
"Tak sangkalah perkara ini berlaku... sudah duduk sini 25 tahun. Jiran beritahu rumah sudah masuk air. Suami saya cakap air sudah naik sampai paras pinggang. Sekarang barang sudah terbalik, masin basuh sudah 'tumbang', peti sejuk tertonggeng, barang sudah rosak," keluh Yet Yong.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Datuk Amaluddin Mohd Ismail, 63, berkata, empat kenderaan mewahnya ditenggelami air hingga menyebabkan kerugian lebih ratusan ribu ringgit.
"Saya duduk di Arena Kepayang Fair Park ini dalam 28 tahun dan saya pun tak pernah tengok macam ini... air naik hingga ketinggian 5 kaki.
"Dalam taman ini banyak OKU (orang kurang upaya), ada banyak kereta semua dah rosak. Dalam rumah sudah ditenggelami air sedalam 4 kaki, ada yang 2 kaki. Macam mana boleh banjir seperti ini?
"Saya harap kalau kerajaan boleh bantu tengokkan sungai-sungai ini macam mana ada sangkut ke apa, saya minta kerajaan untuk menolong kami," ujar beliau.