Translate

31 December 2024

Penutup 2024, Afgan buktikan kehebatan di konsert solo skala besar di Malaysia



Penutup 2024, Afgan buktikan kehebatan di konsert solo skala besar di Malaysia

Bernama

31/12/2024


Persembahan Afgan pada Konsert 'Afgan Live in Penang' yang berlangsung di Setia Spice Arena, di George Town, 29 Dis 2024. --fotoBERNAMA


GEORGE TOWN: "Malam ini milik kita", mungkin itulah perasaan yang menyulami jiwa lebih 6,000 peminat yang terpesona dengan keindahan alunan suara penyanyi genre melakonlik popular Indonesia Afgan, pada malam Sabtu, 28 Dis lepas.

Sebagai penutup tirai 2024, konsert 'Afgan Live in Penang' yang berlangsung di Setia Spice Arena, dekat sini pasti meninggalkan kenangan indah yang akan terus tersemat di hati peminat setianya, khususnya di Malaysia.

Menunaikan janji sebuah konsert yang epik dan bakal diingati, pemilik nama lengkap Afgan Syahreza, 35, menghangatkan pentas dengan lagu-lagu balada dan rancak yang berjaya menusuk kalbu serta menjentik galau dalam kalangan peminatnya.

Bait-bait romantis dengan melodi menyentuh jiwa dalam setiap untaian lagu yang didendangkan Afgan, sememangnya, memukau penonton untuk terus kekal hanyut dengan emosi pada malam itu dengan rasa cinta, rindu dan bahagia, persis sebuah kisah novel.

Menjejaki pertama kali ke negeri Pulau Mutiara dengan konsert solo terbesar sepanjang 17 tahun kariernya dalam industri muzik, Afgan yang terkenal dengan sikap penuh budiman itu turut menambat hati peminatnya dengan bertutur dalam loghat utara, sehingga membuat peminatnya menjadi 'histeria' seketika.

"Hangpa semua apa habaq? Betul ke? Saya baru belajar tadi di belakang (pentas) Penang slang, jadi ngak? Aku cinta hangpa semua," selorohnya seusai mengalunkan lagu Pesan Cinta diikuti Wajahmu Mengalihkan Duniaku, membuatkan segenap ruang arena bergema dengan jeritan dan sorakan peminat khususnya dalam kalangan wanita yang terkesima dengan kelunakan vokal serta ketampanan lelaki itu.

Terharu dengan sambutan diterima serta impian menjayakan konsert solo terbesar dalam perjalanan kariernya menjadi kenyataan selepas hampir dua dekad penantian, bibir anak kepada Loyd Yahya dan Lola Purnama ini tidak henti-henti mengungkapkan terima kasih atas sokongan peminatnya selama ini.


fotoBERNAMA

Menyedari tanpa peminat kehadirannya dalam persada muzik bagaikan tidak ada ertinya, pemenang trofi Artis Lelaki Terbaik, Anugerah Planet Muzik pada 2009 itu turut mengajak peminat mengimbau kembali pembabitan awalnya dalam bidang seni menerusi lagu Entah diikuti Cinta Dua Hati, Shallow Water dan Dia, dia, dia.

Malah Afgan turut melahirkan rasa terharu apabila melihat setiap sudut dalam arena itu dipenuhi dengan kehadiran peminat setianya yang bukan hanya terdiri daripada generasi milenial tetapi juga generasi Z.

"I'm so happy, thank you guys for being here with me. (Saya) tak pernah buat konsert di sini, this is my biggest concert ever. This is my first time in Penang," katanya yang turut berterima kasih kepada ibu bapanya yang sentiasa hadir menyokong pada setiap persembahannya.

Biarpun malam kian larut, namun Setia Spice Arena semakin gegak gempita apabila penyanyi lelaki itu yang juga penulis lagu, membuat kejutan dengan turun dari pentas untuk mendekati peminat yang berada di hadapan pentas sehingga membuatkan ramai peminatnya terutama yang berada di posisi atas 'mencemburui' momen tersebut.

Semestinya, peluang keemasan itu tatkala Afgan mendendangkan lagu Bawalah Cintaku itu dimanfaatkan sebaiknya peminat yang berdekatan pentas untuk mengerumuni penyanyi itu bagi merakamkan gambar serta mengambil video dengan lebih dekat.


fotoBERNAMA

Ternyata, aura dan kelunakan dimiliki penyanyi itu begitu hebat sehinggakan konsert selama dua jam dengan dendangan lebih daripada 20 buah lagu selain disulami gelak jenaka menghiburkan, belum cukup puas untuk menoktahkan kerinduan kepada Afgan.

Bagaikan tidak mahu melepaskan penyanyi Indonesia itu 'pergi', Afgan pada malam itu telah berjaya merasuk ribuan kalbu dengan dendangan lagunya, antaranya, Untukmu Aku Bertahan, Ku Dengannya Kau Dengan Dia (KDKDD), Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta dan Lenggang Puspita.

Selain turut menyampaikan dua lagu ikonik nyanyian idolanya Datuk Sheila Majid iaitu Ku Mohon dan biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Bukan Cinta Biasa serta turut membuktikan keupayaan vokalnya menerusi lagu rancak, Panah Asmara, sehingga menjentik peminat untuk menari bersama.

Rasa puas dengan konsert malam itu bersama Afgan, peminat juga turut terhibur dengan kelunakan alunan vokal penyanyi terkenal Malaysia, Hazama menerusi lagu hitsnya, Relakan Jiwa dan Penglipur Lara.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED