Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan, Johor sedikit meningkat pagi ini
Bernama
31/12/2024
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Tanah Merah terus susut kepada 476 orang daripada 135 keluarga pagi ini berbanding 573 orang daripada 178 keluarga semalam. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit meningkat pagi ini, di Kelantan pula situasi bencana itu bertambah baik manakala jumlah mangsa di Terengganu kekal.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 52 orang daripada 14 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 26 orang daripada tujuh keluarga yang dilaporkan semalam dan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS di daerah Kota Tinggi.
Beliau berkata PPS berkenaan adalah di Dewan Kampung Baru Sungai Mas melibatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga manakala di Sekolah Kebangsaan Gambut menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga.
"Sementara itu, lima sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 19.31 meter; Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang pada paras 13.93 meter dan Sungai Ulu Sedili Besar di Batu 52 Sedili, Kota Tinggi dengan 8.39 meter.
"Dua lagi sungai adalah di daerah Mersing, iaitu Sungai Tenglu Kecil di Kampung Tenglu Kecil dengan bacaan 1.22 meter dan Sungai Paya Dato' 1.35 meter. Tiga daerah dilaporkan mendung pada pagi ini iaitu Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi manakala lain-lain daerah diramal cerah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Tanah Merah terus susut kepada 476 orang daripada 135 keluarga pagi ini berbanding 573 orang daripada 178 keluarga semalam.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan kesemua mangsa berlindung di tujuh PPS.
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri memaklumkan situasi banjir pada pagi ini tidak berubah apabila jumlah mangsa kekal 44 orang daripada 12 keluarga seperti malam tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di PPS Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Besut.
Berdasarkan laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my, hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit di Setiu melepasi paras amaran manakala Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia di Kuala Terengganu melebihi paras waspada.
-- BERNAMA