PM Anwar tiba di Laos hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45
Astro Awani
08/10/2024
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada jam 8.37 malam waktu tempatan. - Gambar Wisma Putra
VIENTIANE: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Laos untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan bermula esok sehingga 11 Oktober.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada jam 8.37 malam waktu tempatan dan ketibaan beliau disambut Menteri Pertanian dan Perhutanan Laos, Linkham Duangsavanth dan Ketua Pengarah Biro Perkhidmatan Diplomatik, Vilatsone Visonenavong.
Turut menyambut Anwar ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mempunyai jadual padat sepanjang empat hari berada di Vientiane.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau juga akan menyertai Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, Sesi-sesi Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council - ABAC).
Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.
Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Mohamad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selain pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, MITI, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Belia dan Sukan.