Tiket Harimau Malaya lawan Turkmenistan, Hong Kong mula dijual hari ini
Bernama
Mac 15, 2023
Tiket Harimau Malaya lawan Turkmenistan, Hong Kong mula dijual hari ini
FAM memaklumkan harga RM30 ditetapkan bagi tempat duduk terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mulai hari ini, peminat bola sepak tanah air boleh mendapatkan tiket aksi persahabatan Antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad negara menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor, hujung bulan ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan harga RM30 ditetapkan bagi tempat duduk terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun, boleh didapati hanya secara dalam talian menerusi laman sesawang https://www.tickethotline.com.my/.
Kenyataan itu juga menyatakan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium membabitkan perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 itu.
Skuad Harimau Malaya bakal beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada 23 Mac sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua 28 Mac, kedua-duanya di Stadium Sultan Ibrahim.
Dua aksi persahabatan tersebut adalah sebahagian persiapan anak buah Kim Pan Gon untuk menghadapi Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari tahun depan.
-- BERNAMA