Saraswathy, Fuziah angkat sumpah Senator
Naib Presiden PKR K. Saraswathy (kiri) dan bekas Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh (kanan) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini.
10/12/2022 10:49 AM
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Naib Presiden PKR K. Saraswathy dan bekas Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini.
Upacara mengangkat sumpah jawatan berkenaan berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen di sini pada 9.04 pagi.
Saraswathy dan Fuziah adalah antara 27 timbalan menteri yang dilantik seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, masing-masing menggalas jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Fuziah sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Saraswathy tewas di Tapah, manakala Fuziah kalah di Kuantan.
Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara 3 petang ini.
Sementara itu, Rais dalam ucapan aluan pelantikan kedua-dua senator berkenaan menasihatkan mereka supaya mengambil perhatian terhadap apa yang dilafazkan dalam sumpah setia iaitu kewajipan serta berusaha sedaya upaya dalam menjalankan tugas.
Selain itu, katanya senator berkenaan juga bersumpah supaya taat setia kepada negara dan memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan.
“Setelah kita melangkaui pintu dewan ini keluar, kebiasaannya ialah kita lupa atas apa yang dilafazkan itu. Seruan saya cuma pada pagi ini, seruan itu tetap berlegar dalam pemikiran dan menjalankan tugas sebagai seorang senator atau Ahli Dewan Negara di samping tugas-tugas rasmi dalam kerajaan.
“Jangan lupakan dewan ini terutama dalam menunaikan tanggungjawab hadir semasa menjawab soalan dan semasa diperlukan oleh dewan yang mulia ini. Selamat berkhidmat,” katanya.
-- BERNAMA