Segera lapor polis jika beli tiket konsert tak wujud
BH News
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie, 53, meminta individu yang pernah berurusan dengan seorang wanita yang terbabit konsert tidak wujud membabitkannya dan beberapa artis tampil membuat laporan polis.
Bagaimanapun, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, dia tidak mengetahui jumlah sebenar mangsa jika ada yang terpedaya dengan hebahan konsert itu.
"Saya menyeru kepada mereka (jika ada) yang sudah membeli tiket konsert membuat laporan polis. Saya tidak tahu berapa ramai yang ditipu.
"Kalau cerita mengenai harga tiket antara RM300 hingga RM400 itu duit juga. Bukan senang nak cari duit, jadi saya harap mereka yang tertipu hadir membuat laporan kerugian," katanya ketika ditemui pemberita perkarangan Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini.
Terdahulu, ibu tunggal, Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan melakukan cubaan menipu seorang lelaki yang juga rakan Awie berhubung penganjuran konsert tidak wujud di Sabah pada Oktober lalu.
Awie yang juga duta bagi kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berharap, perkara seumpama itu tidak berulang kerana gambarnya bersama penyanyi lain digunakan untuk tujuan penipuan.
"Saya tidak kenal wanita itu. Saya tak tahu siapa dia dan tinggal di mana. Tiada satu perbincangan mengenai konsert ini.
"Saya tidak mahu perkara ini berulang membabitkan penipuan konsert seperti ini. Semoga ia menjadi pengajaran agar tidak wujud penipuan," katanya.
Media melaporkan perbuatan wanita mula dikesan apabila Awie selepas mendapat maklumat daripada rakannya berhubung satu hantaran di Facebook mempromosikan konsert yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari tahun depan.
Suspek dikatakan menawarkan penjualan tiket konsert berharga RM199 hingga RM649. Bagaimanapun, Awie menafikan ditawarkan atau menandatangani kontrak untuk menjayakan konsert berkenaan.
Poster konsert Unplugged Living Legend yang memaparkan wajah Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani turut tular.