Warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas tuduhan melakukan amang seksual dan cuba menghasilkan bahan pornografi kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu.
Goh Heng Hong, 67, yang masih bujang dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai kelindan van sekolah didakwa dalam persediaan untuk menghasilkan suatu bahan pornografi kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun.
Goh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan sama dengan menyentuh paha dan dada kanak-kanak itu di dalam van sekolah antara Mei hingga Jun 2019.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta 792 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan.
Tertuduh merayu diberi jaminan yang dikurangkan kepada RM1,000, sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 25 Januari tahun depan.
Harian Metro