Translate

24 December 2022

Pati minyak wangi punca gangguan bekalan air lebih 470 kawasan di Selangor, Putrajaya

 Pati minyak wangi punca gangguan bekalan air lebih 470 kawasan di Selangor, Putrajaya

24 Dis 2022, 12:04pm

BULETIN TV3





KUALA LUMPUR: Pati minyak wangi menjadi punca henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi, pagi tadi yang menjejaskan bekalan air ke lebih 470 kawasan di empat daerah di Selangor serta Putrajaya.


EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, yang memaklumkan perkara itu, berkata pati minyak wangi itu dibawa lori kontena yang terbabit kemalangan sehingga bahan berkenaan mengalir masuk ke sebatang sungai yang berhubung dengan Sungai Semenyih.


“Henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau sungai disebabkan kemalangan jalan raya melibatkan lori kontena dengan muatan 20 tan membawa pati minyak di Lebuhraya Elite berdekatan Serenia, Negeri Sembilan.


“Pati minyak wangi telah mengalir masuk ke Sungai Limau Manis dan seterusnya dialirkan ke Sungai Semenyih, Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi pada jam 2 pagi tadi, mengakibatkan 472 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat di Selangor, selain Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi.


Di Petaling, gangguan bekalan membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).


Antara kawasan terjejas di Petaling adalah Bandar Baru Sri Petaling, Bandar Bukit Puchong dan Bukit Jalil, manakala Hulu Langat termasuk Bangi, Rinching Hilir serta Beranang.


Gangguan di Sepang pula meliputi Cyberjaya, Jenderam Hilir, Salak Tinggi, Taman Tasik Puchong, Taman Suria Tropika, Taman Desa Sentosa, Taman Indah KLIA, Taman Meranti Jaya dan Symphony Hills.


Kawasan terjejas di Kuala Langat termasuk Kampung Olak Lempit, Taman Seri Dagang serta Bandar Rimbayu, manakala Putrajaya meliputi sekitar Presint 1 hingga 20, termasuk Taman Botani dan Dataran Putra.


Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan, memaklumkan gangguan bekalan air berpunca pencemaran yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir di bawah seliaan Air Selangor.


Syarikat berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai tempoh gangguan, namun memberi jaminan akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden terbabit dari semasa ke semasa menerusi semua medium.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED