Translate

11 December 2022

Polis tumpas kegiatan pelacuran Tanzania di sekitar daerah Ampang Jaya

 Polis tumpas kegiatan pelacuran Tanzania

10 Dis 2022, 

Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR: Polis Daerah Ampang Jaya, menumpaskan kegiatan pelacuran wanita warga Tanzania, didalangi suspek dari negara sama yang sering menjadikan beberapa residensi dan kondominium sekitar daerah Ampang Jaya sebagai sarang pelacuran kegiatan mereka.


Kegiatan itu terbongkar susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita Tanzania, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Rabu lalu, yang mendakwa dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan lelaki dikalangan warga Afrika, selain pasport dan barang berharga miliknya disimpan oleh suspek.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata mangsa yang dijanjikan bekerja di pusat kecantikan di negara ini dilaporkan dikurung di Liberty Arc, Kondominium, Taman Sri Ukay, selain dipaksa untuk melayan pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks.


“Berdasarkan maklumat mangsa dan risikan yang dilakukan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya kemudian menyerbu sebuah kediaman residensi, di Jalan Tun Razak, di sini, semalam, sebelum menahan seorang lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Tanzania, disyaki suspek utama kes kegiatan pelacuran ini.


“Dua wanita warga Tanzania yang dipercayai suspek utama menjalankan aktiviti memperdagangkan wanita untuk dijadikan pekerja seks manakala peranan suspek lelaki warga Afrika terbabit sedang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohamad Farouk berkata pihaknya turut merampas kesemua telefon bimbit suspek sebelum melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapatnya gambar-gambar mangsa serta gambar pasport milik mangsa.


“Hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek berusia antara 28 hingga 37 tahun tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan berada di Malaysia menggunakan visa pelajar dan dua suspek wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


“Ujian saringan awal dadah kesemua suspek telah dijalankan dan kedua-dua suspek wanita didapati positif dadah,” katanya.


Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 15 Disember ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi dua puluh tahun serta denda.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED