Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM
Bernama
Disember 6, 2022
Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM
Ku Mashariman berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang semalam. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat satu video berunsur fitnah terhadap seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di Petaling Jaya di sini yang tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang semalam.
"Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
"Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu "05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan" dan emoji muka ketawa bersama karung wang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.
"Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.
Semalam, tular di media sosial satu video berdurasi 25 saat dimuat naik individu berkenaan yang memaparkan seorang anggota polis trafik sedang menjalankan tugas berhampiran lampu isyarat di Petaling Jaya beserta kapsyen berunsur negatif.
-- BERNAMA
@utusantvofficial Bertabahlah abam polis. #fyp #trendingnewsmalaysia #beritaditiktok #polis ♬ original sound - UtusanTV