Parti Warisan (Warisan) menafikan ada membuat kenyataan bersama Pas menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai calon perdana menteri yang baharu. |
Astro Awani
KUALA LUMPUR: Parti Warisan (Warisan) menafikan ada membuat kenyataan bersama Pas menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai calon perdana menteri yang baharu.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menafikan kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai fitnah dan akan membuat laporan polis mengenainya.
Kenyataan yang tular itu turut memalsukan tandatangannya dan juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
"Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media Pas bertarikh 11 Jun 2021 tersebut yang mana saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama Pas untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri. Warisan tidak pernah terlibat dengan Kenyataan Media itu.
"Perbuatan seperti ini adalah tindakan orang-orang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tandatangan saya.
"Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Pas turut menafikan mempunyai sebarang kerjasama dua pihak dengan Warisan bagi memberi sokongan kepada Hishammuddin.
Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan surat yang tular di beberapa platform media sosial adalah palsu.
“Saya menafikan kenyataan tersebut dan ia telah mendapat pengesahan bahawa maklumat tersebut adalah palsu,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Terdahulu, tular satu kenyataan media menggunakan lambang Pas yang ditandatangani bersama Loretto dan Takiyuddin.
Kandungan kenyataan tersebut antara lain kononnya kedua-dua parti bersepakat untuk menyokong Hishammuddin sebagai perdana menteri.
Ia kononnya bagi menyelamatkan negara daripada terus berada dalam krisis kesihatan akibat COVID-19.
FOR MORE NEWS GO TO: