Translate

20 June 2021

Warga Indonesia berdepan 3 pertuduhan amang seksual terhadap anak tiri 10 tahun

 Tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 10 tahun pada 2017

Warga Indonesia berdepan 3 pertuduhan amang seksual terhadap anak tiri 10 tahun

Astro Awani

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 10 tahun pada 2017.

Tertuduh warga Indonesia yang berusia 56 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 malam, antara 1 September 2017 hingga 1 November 2017 di sebuah rumah di Kuala Terengganu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Selain itu tertuduh berdepan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan dua sebatan, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran, selain tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED