Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Ariffin |
Surat palsu Hishammuddin tawar diri jadi PM, Setiausaha Akhbar buat laporan polis
Astro Awani
KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat oleh pegawai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berikutan penyebaran surat palsu kononnya beliau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Ariffin, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, petang Khamis.
Ditemui selepas membuat laporan polis itu, Hafiz berkata, surat palsu tersebut dibuat dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi Ahli Parlimen Sembrong berkenaan serta mewujudkan kekeliruan kepada orang ramai.
“Surat tersebut telah direka dengan menggunakan, kononnya, kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional, tandatangan kepunyaan Datuk Seri Hishammuddin serta cop perakuan penerimaan surat oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara bagi tujuan supaya ia kelihatan seolah-olah suatu surat yang sahih.
“Laporan polis ini dibuat bagi menafikan kesahihan surat tersebut dan meminta agar pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 469 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 463 dan 464 (a) Kanun yang sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya di sini, pada Khamis.
Politik | Surat Hishammuddin tawar diri jadi PM palsu
Tambah beliau, pemalsuan dokumen dan tandatangan dalam surat tersebut wajar disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa agar tidak berterusan menjadi amalan yang menggalakkan politik kebencian dan fitnah.
Semalam, tular sepucuk surat menyatakan Hishammuddin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghadap bagi mempersembahkan jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen kepadanya.
Surat yang tersebar itu juga memaparkan kononnya ahli Parlimen bersetuju untuk memilih Hishammuddin sebagai Perdana Menteri.
Bahkan, dalam surat berkenaan turut dipaparkan cadangan barisan kepimpinan Kabinet serta pelantikan penasihat kerajaan daripada kalangan negarawan.
FOR MORE NEWS GO TO:
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein |
Dakwaan saya cuba jadi PM adalah palsu, tidak bertanggungjawab - Hishammuddin
Astro Awani
KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah pihak yang menularkan sepucuk surat kononnya Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri seterusnya, adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, seperti yang dinyatakan oleh unit komunikasi beliau, surat itu adalah palsu dan tidak benar.
Tegasnya lagi, satu laporan polis akan dibuat hari ini bagi mengenal pasti dalang sebenar di sebalik tindakan itu.
Pada Rabu, sepucuk surat tersebar di media sosial mendakwa Hishammuddin mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menawarkan diri sebagai sebagai Perdana Menteri adalah palsu.
Menerusi satu ciapan di Twitter, unit komunikasi Hishammuddin menjelaskan surat tersebut berunsur fitnah dan bertujuan mengelirukan pandangan umum.
“Surat yang tersebar yang dikaitkan dengan @Ds HishammuddinH2O adalah palsu dan tidak benar," menurut unit komunikasi beliau lagi.
Kandungan surat itu mendakwa, kononnya Hishammuddin telah memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sekembalinya dari lawatan kerja ke Dubai dan menawarkan diri untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Surat berkenaan antara lain turut menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Setiausaha Akhbar kepada Hishammuddin, Hafiz Ariffin memberitahu Astro AWANI laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berkenaan isu tersebut.