Negara dijangka capai imuniti kelompok November atau Disember ini - Dr Noor Hisham
ASTRO AWANI
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjangkakan Malaysia akan mencapai imuniti kelompok pada November atau Disember ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan Malaysia akan mencapai imuniti kelompok pada November atau Disember ini.
Jelasnya, jangkaan itu selepas melihat kepada perancangan negara pada ketika ini dan bergantung kepada proses vaksinasi yang akan diperluaskan secepat mungkin.
"Jadi sekarang back up adalah vaksin. Jadi bagi masa dua, tiga bulan untuk tingkatkan vaksin. Kita jangkakan mungkin bulan 11 atau 12 kita akan capai imuniti kelompok.
"Kalau kita capai imuniti kelompok, mungkin kita akan laksanakan kalau nak pergi masjid, kena tunjuk kita sudah divaksinasi barulah boleh ke masjid, dan buat aktiviti dan sebagainya," katanya semasa Webinar Islam dan Isu Semasa: Sosialisasi Agamawan Dalam Menangani COVID-19 yang disiarkan di Live FB Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) dan Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) pada Sabtu malam.
Ujarnya, masih terlalu awal untuk memberi kebenaran seperti aktiviti di masjid walaupun ada jemaah yang sudah divaksinasi.
Ia berikutan ketika ini tidak sampai 10 peratus rakyat Malaysia sudah divaksinasi.
"Tetapi sekarang masalahnya ialah ramai lagi tidak divaksinasi dan tidak sampai 10 peratus divaksinasi. kalau kita bagi syarat terlalu awal orang akan marah sebab ramai lagi tak divaksinasi," ujarnya.
Justeru katanya, vaksinasi akan dipertimbang sebagai satu kaedah untuk merentas negeri dan negara jika semakin ramai rakyat yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin.
"Ini belum dilaksanakan tetapi dipertimbangkan. Masuk ke masjid mesti ada SOP, merentas negeri mesti ada pasport vaksin," kata Dr Noor Hisham lagi.