Malaysia sekali lagi dipilih sebagai Lembaga Eksekutif (EB) mewakili Negara Anggota Rantau Pasifik Barat bagi tempoh 2021-2024 |
Astro Awani
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi dipilih sebagai Lembaga Eksekutif (EB) mewakili Negara Anggota Rantau Pasifik Barat bagi tempoh 2021-2024.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia sebelum ini pernah menjadi Anggota Lembaga Eksekutif WHO sebanyak tiga kali akan melakukan yang terbaik untuk menyokong pelan kesihatan di peringkat global.
Dalam perkongsian di laman Facebook Dr Noor Hisham, peluang yang diberikan ini juga akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mempromosikan pembedahan yang selamat dan berpatutan di rantau ini.
Ia sekaligus akan menyokong sama pelan yang dirangka Pengarah Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai untuk menjadikan rantau yang paling sihat dan selamat di dunia.
Pemilihan itu diumumkan ketika Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-74 yang menutup tirai pada Isnin.
Ketika perhimpunan yang dijalankan secara maya itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyampaikan ucapan sebaris pemimpin lain dari Australia, Azerbaijan, Bhutan, Korea dan Afghanistan,
Dalam ucapan penutup, Ketua Pengarah Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan - ketika mana agensi PBB itu sedang diperkuatkan, hubungan antara negara anggota juga perlu diperkasakan lagi.
Jelas Dr Hisham, seluruh dunia berharap agar pandemik ini dapat diselesaikan bersama and membendung pandemik seterusnya dengan memastikan dunia semakin sihat, selamat dan adil.
Malaysia katanya komited bersama negara lain untuk melawan pandemik ini dan akan menggandakan usaha mencapai imuniti berkelompok melalui program vaksinasi.
FOR MORE NEWS GO TO: