Translate

19 June 2021

COVID-19: Lebih 600,000 isi rumah M40 tergelincir ke kategori B40

600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40

COVID-19: Lebih 600,000 isi rumah M40 tergelincir ke kategori B40

Astro Awani

KUALA LUMPUR : Lebih daripada 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 kerana krisis COVID-19 yang memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia.

Lapor The Star pada Jumaat, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan untuk tahun 2019 memaklumkan, sekurang-kurangnya 8 peratus isi rumah memperlihatkan penurunan pendapatan di ambang pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.

Penurunan tahap pendapatan yang ketara ini menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan ketidaksamarataan dan kesan terhadap kedudukan sosioekonomi rakyat Malaysia.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej bantuan bernilai RM380 bilion sebagai rangsangan untuk menangani kesan COVID-19 terhadap perniagaan, pengangguran, tahap pendapatan dan golongan masyarakat rentan.

Pengarah Eksekutif EAC Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali mengatakan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia menurun kepada RM42,107 pada tahun 2020, berbanding RM45,973 pada tahun 2019 sebelum wabak COVID-19.

"Pandemik telah menyebabkan KDNK per kapita menyusut kira-kira 8.4 peratus. Sebelum ini kita pada kadar 10.5 peratus ambang pendapatan yang digariskan Bank Dunia, namun ketika ini kita ketinggalan 18 peratus," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengenai cadangan Sekretariat AEC terhadap penetapan semula Malaysia dalam persekitaran landskap ekonomi baharu pasca pandemik pada Khamis.

Terdahulu Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mencadangkan lapan agenda penetapan semula atau 'reset' untuk penjajaran semula ekonomi negara pasca COVID-19.

Cadangan itu termasuk pelaksanaan ekonomi digital; menggalakkan penggunaan dan kemajuan teknologi; menetapkan kedudukan untuk perubahan landskap global serta menggalakkan perkongsian tanggungjawab, tadbir urus baik dan kelestarian.

Selanjutnya ialah penyediaan tenaga kerja masa depan; memantapkan penyampaian awam dan menggalakkan pasaran kompetitif; membantu komuniti rentan dan pemulihan serta penstrukturan semula korporat.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED