Johor Bahru north district police chief Rupiah Abd Wahid (in uniform) speaking to the badminton players (right) at the sports centre. (PDRM pic) |
Padah main badminton, 32 dikompaun di Skudai
17/06/2021 10:27 PM
JOHOR BAHRU, 17 Jun -- Gara-gara berkumpul dan bermain badminton di sebuah gelanggang badminton di Skudai, di sini dua hari lepas, 32 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata kesemua mereka dikompaun terdiri daripada pemilik pusat sukan tersebut dan pemain badminton berusia 18 hingga 44 tahun.
Beliau berkata serbuan di premis terletak di Batu 6, Jalan Skudai kira-kira 5.30 petang itu hasil daripada maklumat orang awam.
“Pemilik premis dikenakan kompaun RM2,000 manakala mereka yang bermain badminton masing-masing dikenakan RM1,500 seorang kerana bermain badminton semasa tempoh PKP dan tidak menjaga penjarakan fizikal.
"Kesalahan dilakukan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan)(No.4)(Pindaan)(No.16) 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua individu terbabit dibebaskan tanpa syarat sebaik kompaun dikeluarkan dan mereka dikehendaki menjelaskan bayaran di pejabat kesihatan daerah Johor Bahru.
-- BERNAMA