BERNAMA
21/01/2021
SINGAPURA, 21 Jan -- Singapura akan mewajibkan kesemua pemandu lori kargo dan pengiringnya yang memasuki republik itu, untuk menjalani Ujian Rapid Antigen (ART) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands bermula 9 pagi esok.
Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI), langkah baharu di sempadan itu bertujuan menguruskan kenaikan risiko terhadap kes import COVID-19.
“Pemandu dan pengiring yang diuji negatif, boleh meneruskan perjalanan memasuki Singapura,” menurut kementerian itu dalam laman sesawangnya hari ini.
Pemandu lori kargo dan pengiringnya berkemungkinan akan berinteraksi bersama komuniti tempatan di Singapura dan pengenalan ART sewaktu ketibaan itu, membolehkan kementerian itu mengenal pasti potensi kes COVID-19 dan mengurangkan risiko berkaitannya.
“Tindakan ini akan meningkatkan tahap keselamatan memastikan kesihatan awam untuk kedua-dua di Singapura dan juga komuniti pemandu lori kargo dan pengiringnya,” menurut laman sesawang itu.
MTI menyatakan mereka mengenal pasti kepentingan dalam memastikan laluan penghantaran barangan yang lancar antara Singapura dan Malaysia dan menghargai kepentingan peranan pemandu lori kargo dan pengiringnya.
“Kami akan pastikan kelancaran operasi di pusat pemeriksaan bagi meminimakan gangguan penghantaran dan jaringan bekalan. Perniagaan yang menjangkakan penghantaran adalah digalakkan untuk berhubung rapat dengan penyedia logistik mereka dan bersedia untuk kemungkinan berlakunya kelewatan.
“Syarikat, pemandu lori kargo dan pengiringnya juga perlu terus mematuhi Langkah Pengurusan Keselamatan, termasuklah penghantaran tanpa kontak, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal yang selamat,” menurut kementerian itu.