Proklamasi darurat: Jangan ada agenda tersembunyi - Masing
Astro Awani
12/1/21
KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat dianggap sebagai peluang terbaik untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mentadbir negara tanpa perlu bimbang sekiranya terdapat percubaan untuk menggulingkan pentadbirannya.
Itu respons Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS),
Tan Sri Dr James Jemut Masing yang turut berharap agar penularan COVID-19 yang meningkat ketika ini dapat dikawal sebaiknya.
“Saya berharap Muhyiddin dan barisan Kabinetnya akan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk mengekang penularan wabak COVID-19.
“Mereka (kerajaan) perlu menggariskan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan mereka yang tidak mematuhinya harus dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Selain itu, Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berharap agar pengisytiharan darurat ini dilaksanakan semata-mata untuk mengawal penularan COVID-19 daripada terus meningkat.
“Saya berharap mereka tidak mempunyai sebarang agenda yang tersembunyi selain memerangi COVID-19 sebaiknya,” tambahnya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: