Translate

07 September 2020

COVID-19 MALAYSIA: New Cases-62 (Imported -6, Local-56) , Active Cases-207 | Total Cases-9459 | Total Deaths- 128


Kenyataan Akhbar KPK 7 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat sembilan (9) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,124 kes (96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 7 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 62 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,459 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 207 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 62 kes baharu yang dilaporkan, enam (6) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan empat (4) bukan warganegara. Enam (6) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Turki (2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Bangladesh (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 kes di Selangor);
  • Indonesia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  • Mesir (1 kes di Selangor).

Daripada 62 kes baharu yang dilaporkan, 56 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 30 warganegara Malaysia dan 26 bukan warganegara. Perincian kes adalah seperti berikut:

  1. Sabah:
    • 50 kes daripada Kluster Benteng LD. Kluster ini akan diperincikan di bawah; dan
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikesan di Hospital Lahad Datu.
  2. Kedah:
    • Dua (2) kes daripada Kluster Sungai. Kluster ini akan diperincikan di bawah:
    • Satu (1) kes saringan Kluster Telaga; dan
    • Satu (1) kes saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar.
  3. Pulau Pinang:
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-9397.

Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI BAGI KLUSTER BENTENG LD, SABAH

Pada 7 September 2020, sebanyak 50 kes dikesan positif COVID-19 dari kluster ini. Kluster ini telah dikenal pasti pada 1 September 2020. Ia bermula dari dua (2) orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah pada 24 Ogos 2020. Mereka disaring dan didapati positif COVID-19 pada 31 Ogos 2020. Kes dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat dijalankan. Dalam tempoh tujuh (7) hari, seramai 1,404 orang telah disaring dan 66 kes positif COVID-19 dikesan dengan kadar positiviti sebanyak 4.7%.

Daripada 66 kes positif COVID-19 dalam kluster ini, sebanyak 64 kes melibatkan banduan (97.0 peratus) manakala dua (2) lagi kes (3.0 peratus) merupakan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya. Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan:

  • 631 orang banduan;
  • 98 orang kakitangan penjara;
  • 157 orang ahli keluarga kakitangan dan banduan;
  • 78 anggota polis; dan
  • 440 orang pegawai agensi kerajaan yang lain.

Kluster ini melibatkan dua (2) daerah di Sabah. Daripada jumlah kes positif COVID-19 kluster ini, 30 kes (45.5 peratus) merupakan warganegara Malaysia dan 36 kes (54.5 peratus) bukan warganegara. Pecahan saringan mengikut daerah yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Lahad Datu (420 orang disaring):
    • 50 kes dikesan positif COVID-19 (22 warganegara, 28 bukan warganegara);
    • 337 individu negatif; dan
    • 33 individu masih menunggu keputusan.
  2. Tawau (984 orang disaring):
    • 16 kes dikesan positif COVID-19 (8 warganegara, 8 bukan warganegara);
    • 230 individu negatif; dan
    • 738 individu masih menunggu keputusan.

Berdasarkan analisa risiko yang dijalankan, faktor penularan COVID-19 bagi kluster ini adalah ruang lokap yang sesak dan sempit. Didapati penjarakan fizikal sukar diamalkan. Ini merupakan penyumbang utama penularan jangkitan COVID-19 di kalangan banduan. Justeru, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting dan harus diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat.

STATUS TERKINI BAGI KLUSTER SUNGAI

KKM ingin memaklumkan bahawa satu (1) kluster baharu telah dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di Kedah. Kes indeks (Kes ke-9455) kluster ini merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut. Beliau bergejala sejak 30 Ogos 2020 tetapi tidak mendapatkan rawatan. Ujian saringan COVID-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif.

Kes kedua kluster ini (Kes ke-9456) merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah. Beliau juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Beliau bergejala sejak 5 September 2020 dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang sama. Ujian saringan COVID-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif. Kedua-dua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 7 September 2020, seramai 57 orang telah disaring. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 55 individu masih menunggu keputusan.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung; 
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

7 September 2020 @ 5.00 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 7 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS032
KEDAH4224
PULAU PINANG1137
PERAK0269
SELANGOR2 (2)2,179
NEGERI SEMBILAN01,037
MELAKA0262
JOHOR0752
PAHANG0371
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH51486
SARAWAK0699
W.P. KUALA LUMPUR4 (4)2,610
W.P. PUTRAJAYA099
W.P. LABUAN023
JUMLAH KESELURUHAN62 (6)9,459

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import


Image

50 kes positif dilaporkan dlm Kluster Benteng LD. 1,404 orang telah disaring dan 66 didapati positif. 64 dari jumlah tersebut adalah banduan, 2 lagi kes melibatkan pegawai penjara dan anak saudaranya.


Image

Perincian kes baharu #COVID19 pada 7 Sept. Kuala Lumpur - 4 import Selangor - 2 import Sabah - 51 tempatan Kedah - 4 tempatan P. Pinang - 1 tempatan


Image


Image

Terkini COVID-19, 7 Sept 2020 Jumlah discaj:9 Jumlah kumulatif discaj: 9124 (96.5%) Jumlah kes baru;62 Jumlah kumulatif:9459 Jumlah kes aktif:207 Kes local: 56(30WN, 26BWN) Kes import: 6(2WN, 4BWN) Jumlah kematian: 0 Jumlah kumulatif:128 (1.35%) Kes di ICU: 6, intubated 4

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED