Translate

10 September 2020

COVID-19 MALAYSIA: New Cases-45(Imported -1, Local-44) , Active Cases-333 | Total Cases-9628 | Total Deaths- 128




Kenyataan Akhbar KPK 10 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 24 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,167 kes (95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 10 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 45 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,628 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 333 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 45 kes baharu yang dilaporkan, terdapat satu (1) kes import. Kes import tersebut dilaporkan di negeri Selangor, iaitu warganegara Malaysia yang telah pulang dari negara Brazil.

Daripada 44 kes penularan di dalam negara, 11 adalah di kalangan warganegara Malaysia dan 33 adalah bukan warganegara. Perincian kes adalah seperti berikut:

i.    Kedah – empat (4) kes:

  • Satu (1) kes daripada Kluster Sungai;
  • Dua (2) kes daripada Kluster Telaga; dan
  • Satu (1) kes saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

ii.   Sabah: 40 kes daripada Kluster Benteng LD, di mana 33 kes melibatkan bukan warganegara.

Kluster-kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat sembilan (9) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima (5) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.33 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI TIGA BUAH KLUSTER – KLUSTER BENTENG LD, TELAGA DAN SUNGAI

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat pertambahan kes bagi tiga (3) buah kluster iaitu Kluster Benteng LD, Kluster Telaga dan Kluster Sungai pada hari ini. Pecahan saringan dan situasi terkini bagi kluster-kluster mengikut negeri terbabit adalah seperti berikut:

  1. Kluster Benteng LD, Sabah (jumlah saringan 2,679):
    • Tawau (1,909 disaring):
      1. 83 kes dikesan positif COVID-19 (40 kes baharu: 34 kes merupakan banduan penjara manakala 6 kes adalah ahli keluarga kakitangan penjara);
      2. 625 individu negatif; dan
      3. 1,201 individu masih menunggu keputusan.
    • Lahad Datu (770 disaring):
      1. 87 kes dikesan positif COVID-19;
      2. 291 individu negatif; dan
      3. 392 individu masih menunggu keputusan.
  2. Kluster Sungai (jumlah saringan 1,585):
    • Kedah (1,456 disaring):
      1. 39 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu);
      2. 1,017 individu negatif; dan
      3. 400 individu masih menunggu keputusan.
    • Pulau Pinang (122 disaring):
      1.  43 individu negatif; dan
      2. 79 individu masih menunggu keputusan.
    • Perlis (7 disaring):
      1. Satu (1) kes dikesan positif COVID-19;
      2. Tiga (3) individu negatif; dan
      3. Tiga (3) individu masih menunggu keputusan.
  3. Kluster Telaga (jumlah saringan 4,673):
    • Kedah (4,626 disaring):
      1. 13 kes dikesan positif COVID-19 (2 kes baharu);
      2. 4,524 individu negatif; dan
      3. 89 individu masih menunggu keputusan.
    • Pulau Pinang (47 disaring):
      1. 46 individu negatif; dan
      2. Satu (1) individu masih menunggu keputusan.

KKM mengambil maklum pengumuman sebentar tadi oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Yang Berhormat Dato’ Seri Ismail bin Sabri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Daerah Kota Setar, Kedah. Ini susulan peningkatan ketara kes dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga di tersebut. Pelaksanaan ini akan berkuatkuasa dari 11 September 2020 sehingga 25 September 2020. Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Amanjaya pula dilanjutkan sehingga 13 September 2020 bagi memastikan saringan ke atas penduduk di kawasan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

KKM juga mengambil maklum keputusan pelaksanaan tindakan yang sama di kawasan Penjara dan Kuarters Penjara di Tawau. Keputusan wajar dan tindakan bersepadu pelbagai agensi ini akan membantu pihak KKM untuk terus menjalankan kawalan kesihatan awam di ketiga-tiga kawasan. Kerjasama rapat dengan penduduk setempat adalah amat diperlukan bagi memastikan tindakan ini berjaya memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dalam negara kita.

RISIKO JANGKITAN IMPORT COVID-19 BERIKUTAN KEMASUKAN PENGEMBARA DARI LUAR NEGARA KE MALAYSIA

Sejak 3 April 2020 sehingga 9 September 2020, jumlah pengembara yang masuk ke Malaysia adalah seramai 119,268 orang. Daripada jumlah tersebut sebanyak 995 disahkan positif COVID-19, iaitu 742 kes dikesan semasa saringan ketibaan dan 253 kes dikesan daripada saringan kedua pada hari ke-13.

Susulan kenaikan kes import COVID-19 ke dalam negara, KKM telah membangunkan matriks penilaian risiko ke atas negara-negara di dunia bagi mengukur risiko pengimportan jangkitan COVID-19 ke Malaysia. Ini adalah penting dalam membuat keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan sempadan antarabangsa. Setiap negara dinilai berdasarkan kriteria di atas dan diletakkan di dalam kategori risiko tertentu. Hasil penilaian ke atas semua 23 buah negara yang telah dikenakan sekatan perjalanan ke Malaysia didapati mempunyai risiko tinggi membawa masuk jangkitan COVID-19 ke dalam negara kita.

Kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan COVID-19 adalah berdasarkan Scoring Board: Sistem Merit yang dibangunkan KKM dengan mengunapakai sumber data dari European Centre for Disease Prevention and Control (ECDC) dan Our World in Data.

Enam kriteria yang telah dikenal pasti adalah:

  1. Bilangan kes COVID-19 dalam tempoh 14 hari kebelakangan;
  2. Kadar insiden per 1 juta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan;
  3. Kadar kematian 14 hari kebelakangan per 1 juta penduduk;
  4. Kadar kematian kes kumulatif;
  5. Indeks pemulihan (Recovery index);
  6. Kes kumulatif COVID-19 melebihi 150,000 kes.

Namun demikian, penilaian risiko ini adalah salah satu mekanisma menilai risiko COVID-19 sesebuah negara. Masih terdapat kriteria lain yang perlu diteliti seperti polisi pengesanan kes COVID-19 bagi negara terbabit, yang memberi implikasi langsung kepada jumlah kes semasa yang dikesan dan dilaporkan.

KETIDAKPATUHAN DAN SIKAP TIDAK ENDAH BOLEH MENGAKIBATKAN KEGAGALAN

Dalam perjuangan Negara kita memerangi virus COVID-19, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan amalan kebiasaan serta normal baharu terbukti berkesan dalam mengawal dan mengekang penularan jangkitan COVID-19 di negara. Ini dapat dilihat sejak lonjakan kes pada permulaan bulan Mac 2020 sehingga ke penurunan kes kepada satu digit pada awal bulan Jun 2020. Walaupun vaksin bagi COVID-19 masih belum ditemui, namun kaedah-kaedah pencegahan jangkitan dan kawalan kesihatan awam yang telah digunapakai seperti penjarakan fizikal (physical distancing), pemakaian alat pelitup muka (facemask) serta amalan kebersihan tangan yang kerap telah bertindak sebagai sistem pertahanan bagi setiap individu, keluarga dan masyarakat dalam menentang virus COVID-19.

KKM ingin terus mengingatkan masyarakat bahawa perkara ini perlu terus dilaksanakan pada setiap waktu dan tempat, agar ianya kekal menjadi kebiasaan dan kebudayaan baharu. Sekiranya masyarakat leka, ianya akan membawa kepada kegagalan. Virus COVID-19 akan kembali merebak, kes harian dan kes di hospital serta ICU akan kembali menaik. Lebih teruk lagi, kematian akibat COVID-19 akan meningkat seperti yang dilihat di banyak negara luar.

Mencegah penularan COVID-19 adalah tanggungjawab kita bersama. Marilah bersama-samalah kita galas tanggungjawab ini dan pastikan kita menang dalam memerangi musuh yang tidak dapat dilihat ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalaman;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung; 
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang awam akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

10 September 2020 @ 5.00 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 10 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS033
KEDAH4270
PULAU PINANG0138
PERAK0269
SELANGOR1 (1)2,190
NEGERI SEMBILAN01,039
MELAKA0262
JOHOR0752
PAHANG0371
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH40592
SARAWAK0700
W.P. KUALA LUMPUR02,616
W.P. PUTRAJAYA099
W.P. LABUAN023
JUMLAH KESELURUHAN45 (1)9,628

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import


Image
PERINCIAN KES BAHARU (45) SELANGOR-1 1 WN pulang dari Brazil SABAH-40 7 WN Kluster Benteng LD 33 BWN Kluster Benteng LD KEDAH-4 2 WN Kluster Telaga 1 WN Kluster Sungai 1 WN saringan bergejala

Image
2 kes baharu dikesan dalam Kluster Telaga yang mendapat jangkitan dari Kes 9,306. 4,673 saringan 13 positif 4,570 negatif 90 masih menunggu keputusan

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED