Translate

12 June 2020

Lima remaja mengaku tidak bersalah rogol, lakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur




Shuhada Abdul Kadir
Jun 12, 2020 16:18 MYT
Awani


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh berusia 18 dan 19 tahun dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang manakala tiga yang lain RM5,000 setiap seorang. - Gambar Astro AWANI

AYER KEROH: Lima remaja lelaki termasuk tiga di bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol secara berkumpulan dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Mac lalu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang berusia antara 15 hingga 19 tahun itu, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dan meraba badan mangsa yang berusia 16 tahun empat bulan ketika kejadian.

Lima remaja tersebut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, empat daripada tertuduh yang berusia antara 15 hingga 18 tahun didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa sama dan didakwa dibawah Seksyen 375B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Mas, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 12.12 tengah malam hingga 7 pagi, 12 Mac lalu.

Sementara bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh berusia 19 tahun didakwa melakukan persetubuhan ke atas mangsa sama di lokasi yang sama tanpa kerelaan mangsa, sembilan hari selepas kejadian pertama.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh berusia 18 dan 19 tahun, manakala RM15,000 bagi setiap tertuduh di bawah umur dengan syarat tambahan semua mereka dilarang menganggu mangsa serta saksi selain melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam, Cassian Anthony merayu supaya jumlah jaminan rendah diberikan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh berusia 18 dan 19 tahun dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang manakala tiga yang lain RM5,000 setiap seorang.

Kes akan disebut semula pada 27 Julai depan.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED