Translate

30 June 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-2 [Malaysian-1 Non M'sian-0 | Imported-1] Total- 8639 | Active Cases-164 | Discharged-8354 (96.7%) | Deaths-121




Kenyataan Akhbar KPK 30 Jun 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,354 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM -30 Jun-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 30 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat dua (2) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,639 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 164 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada dua (2) kes baharu yang dilaporkan, satu (1) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan satu (1) kes adalah penularan di dalam negara iaitu kes saringan pra-rujukan di Hospital Kota Belud, Sabah. Kedua-dua kes ini melibatkan warganegara Malaysia. Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini.

Sehingga kini, sebanyak empat (4) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

GRAF-NEW-White-Update-case-number-covid-19-01

KEPERLUAN KERJASAMA SEMUA LAPISAN MASYARAKAT DALAM MEMERANGI JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA

Seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) pada 26 Jun 2020, beberapa sub-sektor pelancongan, pusat-pusat hiburan, aktiviti riadah dan pra sekolah akan dibuka semula pada 1 Julai 2020. Ini adalah sebahagian daripada pendekatan negara dalam pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara terkawal dan tersusun. Dalam pada itu, pemantauan kes, kluster dan survelan COVID-19 masih dijalankan untuk memastikan penularan kes COVID-19 di komuniti dikesan segera.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dikuatkuasakan pada 10 Jun 2020 sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes harian adalah 303 kes. Jika dilihat pada taburan kes harian sepanjang pelaksanaan PKPP, ianya adalah dalam lingkungan satu hingga dua angka.

Kebanyakan sektor ekonomi telah pun dibuka dan sedang beroperasi sepenuhnya, namun demikian penularan kes di dalam komuniti adalah terkawal. Ini membuktikan bahawa “pemulihan” Negara sememangnya telah bermula. Pemulihan ini adalah daripada segi mengimbangi nyawa dan mata pencarian rakyat.

Demi memastikan proses pemulihan berjalan lancar, Kerajaan telah membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelbagai sektor dan sub-sektor. Pematuhan kepada SOP ini adalah paling utama dalam memastikan kes COVID-19 di Negara kita terus berkurang. Memandangkan lebih banyak sub-sektor akan dibuka pada 1 Julai 2020, kerjasama orang ramai adalah amat diperlukan oleh Kerajaan untuk sama-sama kita memutuskan rantaian penularan COVID-19 di Malaysia.

Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom dalam sebuah taklimat secara maya, pandemik COVID-19 di dunia masih belum berakhir. Malah, secara global, kes-kes pandemik COVID-19 ini sebenarnya semakin meningkat. Beliau juga memberi amaran bahawa situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia dijangkakan akan semakin melarat.

Justeru, pihak KKM menyeru kepada orang ramai supaya tidak alpa dengan trend penurunan kes COVID-19 di Malaysia. Sebaliknya, kita perlu lebih berwaspada serta mematuhi SOP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan pada setiap masa. Kerjasama semua pihak adalah amat penting untuk kita sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Memetik daripada kenyataan Dr Tedros Adhanom:

“We all want this to be over. We all want to get on with our lives. But the hard reality is this is not even close to being over.”

WhatsApp Image 2020-06-26 at 3.10.48 PM

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 Jun 2020 @ 5.00 petang

 

 

 

LAMPIRAN 1

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 30 JUN 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

 

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH097
PULAU PINANG0121
PERAK0258
SELANGOR1 (1)2,047
NEGERI SEMBILAN01,025
MELAKA0256
JOHOR0691
PAHANG0365
TERENGGANU0111
KELANTAN0157
SABAH1372
SARAWAK0571
W.P. KUALA LUMPUR02,436
W.P. PUTRAJAYA097
W.P. LABUAN017
JUMLAH KESELURUHAN2 (1)8,639

 

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import


Status terkini COVID-19 setakat 30 Jun 2020 Jumlah discaj baru: 20 Jumlah kumulatif discaj: 8354 (96.7%) Jumlah kes baru; 2 Jumlah kumulatif: 8639 Jumlah kes aktif: 164 Jumlah kematian: 0 Jumlah kumulatif kematian: 121 (1.4%) Jumlah kes di ICU: 4 Pesakit intubated: 1

Image


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED