Translate

25 June 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases - 4 (Malaysian - 1 Foreigner- 0 Import- 3 ) Total - 8600 , Active Cases - 208 | Discharged- 40 Total- 8271Total Deaths - 121



Kenyataan Akhbar KPK 25 Jun 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 40 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,271 kes (96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM -25 Jun-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 25 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat empat (4) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,600 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 208 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada empat (4) kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia. Satu (1) kes penularan di dalam negara juga merupakan warganegara Malaysia, iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor. Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dikesan pada hari ini.

WhatsApp Image 2020-06-25 at 4.40.25 PM

Sehingga kini, sebanyak dua (2) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

graf-NEW-White-Update-case-number-covid-19 (1)

KE ARAH KEHIDUPAN NORMAL DENGAN NORMAL BAHARU

Pada 16 Mac 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344), iaitu mulai berkuatkuasa pada 18 Mac 2020. Ketika itu jumlah kes positif COVID-19 telah mencecah 790 kes dengan dua (2) kematian pertama dicatatkan pada 17 Mac 2020.

Hari ini, 25 Jun 2020 adalah merupakan hari ke-100 sejak PKP dikuatkuasakan. PKP kemudiannya telah berlanjut sebanyak 4 fasa, diikuti dengan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

PKP actions

Tindakan drastik tersebut diambil Kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai serta menutup pintu masuk antarabangsa untuk mengelakkan jangkitan dibawa masuk ke dalam negara ini. Ini diharap dapat memberi ruang kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam, makmal, klinik kesihatan dan hospital dan seterusnya meratakan lengkung (flatten the curve) graf kes COVID-19. Pada 18 Mac 2020, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi RT-PCR adalah hanya 6,210 ujian. Selain itu, jumlah katil di hospital dan fasiliti bersesuaian, katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat pernafasan khusus untuk COVID-19 adalah masing-masing 4,433 buah katil, 273 buah katil dan 626 buah mesin.

Dalam tempoh PKP, KKM juga telah meningkatkan pendekatan agresif di lapangan untuk terus mengesan, menguji, mengasingkan, merawat kes-kes COVID-19 di hospital. Kemuncak jumlah kes aktif bagi COVID-19 semasa fasa-fasa PKP adalah pada 5 April 2020 di mana terdapat 2,596 kes aktif, dengan jumlah keseluruhan kematian adalah 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada penghujung fasa ke-empat PKP pada 12 Mei 2020, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi PCR meningkat kepada 27,233 ujian (kenaikan empat kali ganda), manakala jumlah katil di hospital, ICU dan alat pernafasan khusus untuk COVID-19 adalah masing-masing 8,794 buah katil (dua kali ganda), 438 katil (1.6 kali ganda) dan 1,097 buah mesin (1.75 kali ganda). Jumlah kes aktif adalah 2,596 kes dan peratus kematian adalah 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada hari ini iaitu hari ke-100 sejak PKP dikuatkuasakan, negara telah mempunyai kebolehan menjalankan 36,812 ujian makmal RT-PCR (enam kali ganda berbanding sebelum PKP). KKM juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk COVID-19. Walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit COVID-19, kini ianya telah mula digunakan untuk pesakit-pesakit kes lain. Begitu juga dengan mesin-mesin ventilator memandangkan hanya terdapat 2 kes COVID-19 yang menggunakan ventilator. Jumlah kes aktif kini telah menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.

Kejayaan meratakan lengkung graf kes COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes COVID-19 di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat. Kini, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan ini, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan normal dengan normal yang baharu.

WhatsApp Image 2020-06-25 at 4.40.25 PM (1)

PEMANTAUAN PEMATUHAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) DI BAWAH AKTA 342

Seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) pada 5 Mei 2020, Kerajaan telah menubuhkan satu pasukan Task Force Operasi Pematuhan. Pasukan ini melibatkan 14 buah agensi bagi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara. Antara agensi yang terlibat dalam pasukan ini adalah seperti berikut:

  1. Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  2. Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
  3. Angkatan Pertahanan Awam (APM)
  4. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
  5. Jabatan Tenaga Kerja
  6. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
  7. Jabatan Kerja Raya (JKR)
  8. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
  9. Jabatan Imigresen Malaysia
  10. Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi
    1. Industri BioBahan Api Malaysia
    2. Lembaga Minyak Sawit Malaysia
    3. Lembaga Getah Malaysia
    4. Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia
  11. Kementerian Pendidikan Malaysia
  12. Pengarah Hospital
  13. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
  14. Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak

Semua agensi dalam pasukan ini diberi kuasa untuk menyampaikan nasihat, amaran dan sekiranya perlu boleh mengambil tindakan ke atas individu, syarikat atau industri yang didapati gagal mematuhi SOP. Ini adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Di bawah akta ini, mereka yang didapati gagal mematuhi SOP boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Akta ini digunapakai dalam pelbagai aspek pencegahan dan pengawalan wabak COVID-19 di Malaysia. Salah satunya adalah dalam pengurusan individu di bawah pengawasan (survelan). Pengawasan pergerakan ini dikenakan ke atas:

  • Individu dengan gejala jangkitan saluran pernafasan yang mempunyai sejarah melawat atau menetap di negara yang terbabit, namun tidak dimasukkan ke wad; dan
  • Individu yang merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Individu dalam golongan ini akan menjalani Home Surveillance Order (HSO) selama 14 hari berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh KKM. Mereka yang gagal mematuhi perintah pengawasan ini boleh dikenakan tindakan.

ISU KESESAKAN AKTIVITI REKREASI DI BUKIT BROGA, SEMENYIH

Mutakhir ini, terdapat pelaporan di media massa dan media sosial terhadap tahap pematuhan kepada SOP di kalangan individu, syarikat dan industri yang mungkin semakin menurun. Terdapat premis kedai dan syarikat yang tidak beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Misalnya, baru-baru ini terdapat penularan isu terlalu ramai pengunjung di Bukit Broga, Selangor. Sehubungan itu, KKM mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga di bawah Seksyen 18, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuatkuasa mulai 27 Jun 2020 (Sabtu) sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

SOP dan normal baharu yang sering ditekankan Kerajaan sememangnya bertindak sebagai sistem pertahanan Negara kita terhadap penularan wabak COVID-19.

Justeru, KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baharu. KKM berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM mengingatkan masyarakat bahawa bahaya jangkitan COVID-19 adalah masih wujud di dalam komuniti. Oleh itu, KKM menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 pada setiap masa. Terus amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-06 at 11.32.00

  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – face mask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elak bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah PKPB;
  • O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

25 Jun 2020 @ 5.00 petang

  

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 25 JUN 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH096
PULAU PINANG0121
PERAK0258
SELANGOR2 (2)2,034
NEGERI SEMBILAN01,015
MELAKA0256
JOHOR1689
PAHANG0365
TERENGGANU0111
KELANTAN1 (1)157
SABAH0366
SARAWAK0570
W.P. KUALA LUMPUR02,430
W.P. PUTRAJAYA097
W.P. LABUAN017
JUMLAH KESELURUHAN4 (3)8,600

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED