Translate

27 January 2020

CoronaVirus di Malaysia - Kes ke 5 disahkan di Bintulu, semua kes warga negara China



Kes jangkitan terbaru koronavirus disahkan di Bintulu, kata menteri kesihatan
Adam Abu Bakar
-January 27, 2020 2:04 PM
FMT
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah terkini suspek yang mempunyai simptom novel koronavirus (2019-nC0V) dan mendapat rawatan adalah seramai 5 orang, yang kesemuanya warganegara China.

SEPANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sudah menerima laporan berhubung seorang warga China yang bekerja di Bintulu, Sarawak, mempunyai simptom dengan novel koronavirus (2019-nC0V).

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, individu berkenaan pada ketika ini sedang menerima rawatan dan dalam jagaan rapi di Hospital Bintulu dan berada dalam keadaan stabil.

“Kita baru terima berita berkenaan dan saya bercakap langsung dengan pengarah kesihatan Sarawak. Memang ada dan suspek berkenaan sudah berada dalam pemerhatian.

“Kita menunggu laporan makmal. Pesakit berkenaan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan KLIA2 di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah terkini suspek yang mempunyai simptom novel koronavirus (2019-nC0V) dan mendapat rawatan adalah seramai 5 orang, yang kesemuanya warganegara China.

“Seorang di Bintulu, 2 orang kanak-kanak di Hospital Langkawi dan 2 orang kanak-kanak lagi di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Zulkefly berkata, sejak 10 Jan lepas sehingga 26 Jan, jumlah kumulatif kes pesakit di bawah siasatan (PUI) terhadap novel koronavirus (2019-nC0V) adalah sebanyak 37 kes.

“Daripada jumlah itu, 18 adalah warganegara Malaysia, 18 warganegara China dan seorang warganegara Jordan. Daripada jumlah kes ini, terdapat satu kes yang positif 2019-nCoV seperti dimaklumkan sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, rakyat di negara tidak perlu bimbang mengenai kehadiran pelancong dari Wuhan, China yang memasuki negara.
Menurutnya, perkara itu tidak akan berlaku kerana China sendiri sudah menyekat sebarang penerbangan dari Wuhan.

Dzulkefly pada masa sama turut meminta rakyat tidak mudah terpengaruh dan menyebarkan laporan berita palsu yang boleh menimbulkan ketakutan serta kebimbangan dalam kalangan rakyat.



“Kita akan menerbitkan satu senarai laporan berita palsu, kerana terlalu banyak berita palsu. Tidak ada apa-apa yang kita ingin sembunyikan. Rakyat perlu ambil maklumat daripada sumber perdana menteri, timbalan perdana menteri, dan KKM sahaja.

“Masalah viral juga antara yang memeningkan, selain masalah virus ini. Kita sebenarnya mempunyai pengalaman menangani penyakit. KKM pernah tangani penyakit SARS, H1N1, virus zika dan lain-lain.

“Kita sudah ada pengalaman, kita sentiasa memantau dan menggerakkan jentera kita di semua pintu masuk dalam negara. Kita sentiasa high alert berhubung perkara ini,” katanya.

Tambahnya, KKM turut akan meningkatkan jumlah pengimbas haba di pintu masuk negara bagi mengesan pelancong yang memasuki negara ini yang berkemungkinan membawa 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

“Kita sudah ada 54 alat pengimbas haba, dan kita akan tambah 12 lagi. Perkara ini sudah mendapat perhatian menteri kewangan dan saya yakin kita akan dapat kelulusan segera kerana beliau sendiri sudah menyatakan komitmen berhubung perkara ini,” katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED