Translate

18 January 2019

Pertukaran bos imigresen tiada kaitan pembatalan kontrak RM3.5 bilion


Muhyiddin: Pertukaran bos imigresen tiada kaitan pembatalan kontrak RM3.5 bilion
FMT Reporters
-January 18, 2019 1:20 PM
Muhyiddin Yassin turut menolak dakwaan kontrak Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu sudah diberikan kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengan seorang pegawai kanan KDN.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan pertukaran ketua pengarah Jabatan Imigresen baru-baru ini ada kaitan dengan pembatalan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (Skin) yang bernilai RM3.5 bilion.

“Tuduhan ini berniat jahat dan tidak benar sama sekali. Ia mungkin sengaja dibuat pihak-pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan cadangan KDN (Kementerian Dalam Negeri) membatalkan projek Skin yang dipersetujui Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan dimuat naik ke Facebooknya hari ini.

Kontrak SKIN diberikan kerajaan terdahulu melalui rundingan terus kepada Prestariang Skin Sdn Bhd (PSSB) dalam perjanjian konsesi selama 15 tahun.

Bagaimanapun, Kabinet pada 30 November lalu bersetuju menamatkan perjanjian konsesi itu dengan PSSB dan satu sistem baru dikenali sebagai Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu akan dilaksanakan menerusi tender terbuka.




Pada 13 Januari lalu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Imigresen, menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara daripada jawatan itu pada 31 Disember lalu.

Hari ini, Muhyiddin berkata, jawatankuasa khas mengkaji semula projek Skin mendapati wujud beberapa kelemahan dalam terma perjanjian konsesi dan pelaksanaan projek.

“Antaranya ialah terma-terma kontrak yang lebih menguntungkan syarikat berbanding kerajaan, kos pelaksanaan projek terlalu tinggi dan bakal menjadi beban kewangan kepada kerajaan untuk jangka masa panjang dan skop pelaksanaan projek yang terhad serta tidak memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen.

“Berdasarkan faktor-faktor ini, pihak jawatankuasa telah mengesyorkan supaya perjanjian konsesi dengan PSSB ditamatkan dan sebuah sistem baru, iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dibangunkan.”

Beliau berkata, KDN mengemukakan cadangan yang dibuat dengan amat teliti dan dibawa untuk pertimbangan Kabinet sebanyak 4 kali.

“Ia tidak dibuat secara sewenang-wenang. Hasilnya, KDN telah menyelamatkan wang kerajaan yang dianggarkan berjumlah hampir RM1 bilion.”



Katanya, ketika ini, KDN masih membangunkan skop dan spesifikasi sistem baru itu dan projek itu akan ditawarkan menerusi tender terbuka seperti diputuskan Kabinet tahun lalu.

Muhyiddin berkata, dokumen akhir tender dijangka siap April ini dan belum ada syarikat yang diberikan kontrak itu seperti didakwa dalam laporan sebuah portal berita.

Beliau turut menolak laporan portal berita yang mendakwa kontrak sistem baru itu sudah diberikan kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengan seorang pegawai kanan KDN.

Katanya, beliau tidak berkompromi dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa, serta KDN akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan mengenai sebarang dakwaan salah laku membabitkan kementeriannya.

Beliau juga berjanji tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan mensabotaj kerajaan oleh pihak yang melemparkan tuduhan melulu dan tidak berasas

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED