Translate

01 December 2018

Lakonan semula kejadian Adib diserang



Rusuhan kuil: Lakonan semula kejadian Adib diserang

Harian Metro


PASUKAN siasatan polis hari ini muncul di lokasi seorang anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim, ditarik dan dipukul perusuh di hadapan kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, di Subang Jaya, Selasa lalu.
Pasukan berkenaan terdiri dari Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai penyiasat dan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, tiba di lokasi kejadian, jam 12 tengah hari.
Turut dilihat berada di lokasi kejadian adalah anggota bomba yang turut berada bersama-sama Adib, semasa pasukan mereka diserang oleh sekumpulan perusuh bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan dan lakonan semula bagaimana kejadian berlaku.


Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan secara terperinci itu dibuat bagi membolehkan pihak polis mengetahui situasi sebenar kejadian Adib dan anggota bomba lain yang menaiki sebuah jentera bomba serta van EMRS, diserang dan dibaling batu serta objek lain hingga menyebabkan berlaku kerosakan dan cermin pada kenderaan itu.
“Pada hari ini, Unit Forensik Polis menjalankan siasatan serta lakonan semula di lokasi berkenaan bagi membolehkan kita mendapat butiran dan maklumat lanjut mengenai siasatan kes serangan ke atas Adib dan pasukan Bomba.
“Pada masa ini saya tidak dapat lagi memberikan butiran lanjut bagi membolehkan siasatan sepenuhnya dijalankan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Beliau berkata, polis terpaksa menutup satu lorong untuk sementara waktu di lokasi kejadian semasa siasatan dilakukan sebelum dibuka semula selepas siasatan selesai dibuat.
Mengulas mengenai situasi hari keenam, berhubung kawalan polis di kawasan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Mazlan berkata keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.
“Saya dapati keadaan di sana kini sama seperti suasana sebelum kejadian pencerobohan kuil berlaku dan orang ramai menjalankan aktiviti harian mereka seperti sedia kala.
“Justeru, saya mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak cuba menyebarkan atau viralkan sebarang berita atau maklumat mengenai situasi yang tidak benar hingga menyebabkan suasana selamat dan kita tidak akan teragak-agak mengesan dan mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya.
Katanya, pada masa ini seramai 500 pegawai dan anggota polis masih ditempatkan di kawasan kuil serta kawasan berhampiran.
Tinjauan seawal jam 9 pagi di kawasan kuil berkenaan mendapati laluan bergerak lancar meskipun sebahagian pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan mereka bagi melihat keadaan dalam kuil yang dikawal oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Polis Trafik serta pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED