KUALA LUMPUR - “Kalau Kelantan minta (syarat) pelik-pelik sangat, saya pindah (tajaan) kepada pasukan lain macam Selangor, JDT (Johor Darul Ta’zim) atau Kedah.”
Itu kata pengasas syarikat Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman secara berseloroh ketika ditanya mengenai perkembangan penajaan skuad The Red Warriors (TRW).
Sehingga hari ini, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida masih menunggu keputusan rasmi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung perkara itu.
Kata Dr. Vida, beliau sudah memaklumkan kepada Kafa mengenai persetujuan untuk menaja Kelantan musim ini, malah mendakwa, Kafa juga secara dasarnya sudah bersetuju dengan segala syarat yang ditetapkan olehnya.
“Sehingga kini saya masih tunggu ‘pinangan’ Kafa. Presidennya (Tan Sri Annuar Musa) sekarang di Mekah menunaikan ibadah umrah, mungkin apabila beliau kembali ada pengumuman akan dilakukan oleh mereka. Biarlah Kafa sendiri yang umumkan.
“Secara lisan, mereka setuju. Namun, kalau Kafa tidak mahu ikut syarat-syarat saya...saya pergi ke Selangor.
“Saya pilih Kelantan, sebab mereka tergolong dalam pasukan hebat, tetapi ada pasukan lain yang hebat seperti Selangor, Johor (JDT) dan Kedah. Kalau artis, mereka ini macam artis gred A,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Biarpun Kafa memberitahu akan memuktamadkan perkara itu dalam tempoh terdekat, namun bayangan yang diberikan Dr. Vida menimbulkan kegelisahan buat penyokong TRW, yang mencetuskan idea kepada jutawan kosmetik itu untuk membantu pasukan kesayangan mereka.
Dr. Vida yang terkenal dengan slogan ‘Qu Puteh, Barulah Putih’ sebelum ini memasang impian besar untuk membantu juara treble 2012, Kelantan kembali memberi saingan dalam Liga Malaysia.
Bagaimanapun Vida memberikan dua syarat kepada Kafa iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu kerana dapat menghasilkan satu kelainan kepada penyokong bola sepak Kelantan.
Bukan itu sahaja, nama pasukan seharusnya ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors seperti Negeri Sembilan yang menukar nama pasukan itu kepada NS Matrix.
Sementara itu, ketika ditanya adakah beliau terfikir untuk mengembangkan tajaannya kepada atlet pada masa akan datang, Dr. Vida mengakui tidak menolak akan perkara itu.
“Ia mungkin boleh terjadi, tetapi kalau saya nak menaja biarlah atlet tersebut mempunyai pencapaian yang tinggi sejajar dengan penajaan.
“Sebagai contoh, apa yang boleh kita beri, ia akan memberi pulangan maksima kepada Vida Beuty,” ujarnya.