Translate

07 April 2015

POLIS SAHKAN WANITA YANG BELUM DIKENAL PASTI ADALAH KENALAN JURUTERBANG

POLIS SAHKAN WANITA YANG BELUM DIKENAL PASTI ADALAH KENALAN JURUTERBANG
Semenyih, 7 April - Polis mengesahkan wanita dalam nahas helikopter di sini Sabtu lepas, yang identitinya masih belum dikenal pasti, merupakan kenalan kepada juruterbang Clifford William Fournier, yang turut maut dalam kejadian itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata polis tidak menolak kemungkinan wanita itu adalah Aidana Baizieva, seperti dalam daftar penerbangan helikopter itu yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, tetapi ujian DNA perlu dijalankan sebelum dapat disahkan.
Katanya hasil ujian yang dibuat ke atas mangsa wanita dalam kejadian itu, ia merupakan mayat wanita berusia 25 tahun.
"Polis berpuas hati dengan keputusan siasatan yang dijalankan. Bagaimanapun identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti dan memerlukan masa," katanya dalam sidang media berhampiran lokasi nahas hari ini.
Abdul Samah berkata polis telah pergi ke rumah Aidana iaitu sebuah pangsapuri di Pantai Dalam, Kuala Lumpur untuk mengambil beberapa barang, dokumen dan spesimen milik mangsa untuk ujian DNA bagi mengesahkan identiti mangsa keenam nahas helikopter itu.
"Polis menemui bukti tiket penerbangan mangsa (Aidana) ke Langkawi pada 21 Mac lalu semasa LIMA (Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi) sedang berlangsung tertera namanya dan juruterbang terbabit (Fournier). Juruterbang itu mempunyai akses masuk ke kediaman wanita itu," katanya.
Abdul Samah berkata siasatan polis mendapati Aidana merupakan pelajar jurusan diploma pelancongan di tiga buah kolej iaitu Sunway University, Lim Kok Weng Universiti dan Segi College.
"Dia belajar di tiga kolej itu pada tahun 2010 hingga 2014 dan mendapat ijazah dari Segi College pada 10 Okt lalu," katanya.
Berikutan itu, polis mengambil keterangan daripada rakan-rakan wanita itu.
"Wanita itu amat berminat untuk menjadi seorang juruterbang, selain itu, ada saksi yang pernah melihat mereka (Aidana dan Fournier) terbang menaiki helikopter bersama beberapa kali sebelum insiden," katanya yang meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai wanita itu.
Sekiranya identiti mangsa tidak dikenal pasti lagi, polis akan mengambil langkah terakhir iaitu menghubungi ayah Aidana yang berumur 75 tahun di Kyrgyzstan untuk membuat ujian DNA dan mengenal pasti mangsa.
Sementara itu, mayat juruterbang warga Amerika Syarikat itu dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pukul 8.15 malam tadi.
"Mayat telah dituntut oleh sebuah syarikat pengurusan jenazah tempatan dan kini diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat. Pihak kedutaan akan membuat keputusan sama ada mayat akan disemadikan di sini ataupun dibawa pulang ke negara asal," katanya.
Siasatan tragedi nahas helikopter yang mengorbankan enam orang termasuk anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias masuk hari keempat hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lepas, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-1GB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Dua lagi yang maut dalam kejadian itu adalah pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.
BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED