- Details
- Published on Wednesday, 02 April 2014 07:34
Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato' Mohamed Juhari Shaarani menjamin tidak akan ada insiden kekecohan yang boleh berlaku sewaktu pementasan teater 'Projek Kahwin' yang akan dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun depan.
Tegas beliau lagi, mana-mana pihak yang cuba membuat kacau pada hari pementasan itu, mereka boleh didakwa dan dikenakan tindakan tegas.
"Istana Budaya adalah bangunan kerajaan. Jadi, sesiapa saja yang membuat kerosakkan di banggunan kerajaan mahupun mencetuskan sebarang kekecohan akan di dakwa dan boleh dikenakan tindakan tegas", katanya pada sidang media kali kedua, teater 'Projek Kahwin', bertempat di Istana Budaya, semalam.
Hal itu berikutan teraju utama teater tersebut iaitu Hanez Suraya menerima ugutan dari sesetengah pihak yang mahu menconteng poster dan mahu melemparkan telur busuk ke arahnya sewaktu pementasan teater itu nanti.
Aktres berkenaan menerima ugutan tersebut berikutan kontroversi yang melanda dirinya atas dakwaan merampas suami orang.
Johari juga berkata, jika perlu sebagai langkah berjaga-jaga, pihak IB akan menggunakan khidmat anggota polis untuk mengawal sepanjang pementasan berlangsung.
Lantaran itu Hanez dikekalkan sebagai teraju utama teater terbitan Mask Team Productions itu untuk tiga hari pementasan iaitu pada 12 Jun hingga 14 Jun 2014. Sementara Kyalfairy pula akan menggalas tanggungjawab watak utama pada 6 Jun hingga 11 Jun 2014.
"Memang pada awalnya Hanez mahu menarik diri. Tetapi keputusan pihak produksi untuk mengekalkan Hanez juga mendapat campur tangan daripada pihak Istana Budaya. Kami tidak membenarkan Hanez tarik diri kerana percaya yang dia mempunyai potensi besar untuk menjayakan teater 'Projek Kahwin'. Malah dari tahun lepas lagi saya sudah nampak kesungguhan Hanez mempromosikan teater ini dalam mana-mana sesi temubualnya bersama media. Jadi adalah tidak adil jika Hanez menarik diri begitu saja.
"Tentang soal ada pihak yang nak baling telur busuk dan sebagainya, perkara itu tak mungkin mereka dapat dilakukan. Bukan semudah yang mereka fikirkan. Bagi memastikan semua berjalan lancar, jika perlu pihak IB akan menggunakan khidmat pasukan polis yang akan berpakaian seperti biasa (preman) dan mengawal sepanjang pementasan itu nanti", katanya dengan nada tegas.
Sementara itu, penerbit teater tersebut, Mohd Amir Shafiq Khalip atau Amir Shawn menganggap kontroversi yang melanda ini sebagai satu cabaran buat sebuah produksi yang baru dan kurang berpengalaman seperti mereka. Namun beliau yakin dengan bantuan Istana Budaya dan juga tunjuk ajar dari beberapa penerbit teater berpengalaman, segala masalah tersebut dapat diatasi dan berharap tiada sebarang buruk akan berlaku.
"Kami adalah sebuah produksi yang baru dan kecil. Tapi kami anggap ini semua sebagai satu cabaran buat produksi yang kurang berpengalaman seperti kami. Namun dengan bantuan pihak IB serta tunjuk ajar dari beberapa orang penerbit teater berpengalaman, sikit sebanyak memberi semangat kepada kami untuk meneruskan projek ini walaupun timbul beberapa isu panas dalam beberapa hari ini", katanya.
Pementasan teater 'Projek Kahwin' ini diarahkan oleh Muhammad Azri Ali berdurasi hampir 2 jam ini mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri dari segi naskah skrip dan barisan pelakon yang membintangi teater ini.
Selain Hanez dan Kylafairy, teater ini turut diterajui oleh Izzue Islam serta dibarisi pelakon seperti Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz, Fazleena Hishamuddin dan Kaka Azraff.
- mD