Translate

28 February 2025

Bekas Pengerusi 1MDB diasak soalan berhubung kenyataan bukan proksi Najib



Bekas Pengerusi 1MDB diasak soalan berhubung kenyataan bukan proksi Najib

Bernama

27/02/2025


Najib berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Gambar fail/1MDB


PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, diasak dengan soalan pasukan pendakwaan berkaitan kenyataan beliau bukan proksi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Semasa soal balas, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bertanyakan saksi pembelaan ke-12 itu mengapa beliau membuat kenyataan sedemikian sedangkan kenyataan saksi beliau yang berjumlah 211 muka surat tidak menyebut apa-apa tentang hubungan beliau dengan Najib.




Kamal Baharin: Tan Sri, adakah anda setuju dengan saya bahawa kenyataan saksi anda tidak menyebut apa-apa mengenai hubungan atau kenalan dengan Datuk Seri Najib?" Che Lodin menjawab, "Ya, saya mengesahkannya."

Kamal Baharin: Bagaimanapun, tiba-tiba dalam kenyataan saksi anda, anda menafikan bahawa anda bukan proksi Datuk Seri Najib. Mengapa anda tiba-tiba menafikannya? Mengapa anda bercakap mengenainya?

Che Lodin: Saya sentiasa menganggap pelantikan seperti ini secara profesional. Untuk mengatakan bahawa saya rapat dengan Najib, mungkin tidak... Saya telah mengenali beliau hampir 40 hingga 50 tahun. Ketika saya berkhidmat di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Seri Najib adalah menteri saya pada waktu itu (Menteri Pertahanan). Walau bagaimanapun, kebanyakan interaksi kami adalah secara rasmi.

"Pada pandangan saya, proksi ialah seseorang yang menjaga kepentingan saya, letak saham atas nama saya. Itu yang saya maksudkan dengan proksi. Saya mengenali Najib secara profesional selepas beliau menjadi Menteri Besar Pahang. Saya berkhidmat di bawah beliau selama setahun dalam jawatan itu," katanya sambil merujuk kepada perkhidmatannya sebagai pengurus besar di Perbadanan Pembangunan Bukit Fraser milik kerajaan negeri.

Selepas berkhidmat di Perbadanan Pembangunan Bukit Fraser, Che Lodin menjadi Timbalan Pengurus Besar LTAT pada 1982 dan kemudian Ketua Pegawai Eksekutif LTAT hingga 2018.

Che Lodin juga berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd dari 2010 hingga 2018.

Saksi berkenaan turut menyatakan kedua-dua syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan Kementerian Pertahanan, dan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di kedua-dua syarikat itu, Najib adalah menteri yang bertanggungjawab dari 1990 hingga 1995 dan sekali lagi dari 1999 hingga 2008.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung Isnin.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Batu caves viewed 'Bufet buka puasa "Nostalgia Ramadan" PARKROYAL COL' 11 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Donald Trump revokes ‘ridiculous’ Secret Service d' 17 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Ayob Khan tipped to be next IGP| NST | BEST FBKL' 19 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Isu had tempoh jawatan PM perlu dihujah dengan ada' 24 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'Bufet Ramadan yang terbesar dan antara yang terbai' 29 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Polis akan rujuk kertas siasatan insiden tampar ke' 39 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Politeknik Ungku Omar hantar laporan awal Ex Kurun' 39 mins ago
A visitor from Kota kinabalu viewed 'Politeknik Ungku Omar hantar laporan awal Ex Kurun' 42 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed ''DEFIES LOGI' 50 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'e-Ansuran LHDN boleh diakses di portal MyTax | BES' 52 mins ago