Translate

24 February 2025

40 syarikat subsidiari agensi Persekutuan rugi lebih RM2.66 bilion

 





40 syarikat subsidiari agensi Persekutuan rugi lebih RM2.66 bilion

BULETIN TV3

24 Februari 2025

Foto hiasan


KUALA LUMPUR: 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian bernilai RM2.66 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan kesusutan paling tinggi, pada 2023.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, KWSP menerusi 21 syarikat subsidarinya mencatatkan kerugian bernilai RM0.94 bilion.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerusi lima syarikat subsidiarinya pula mencatatkan kerugian bernilai RM0.72 bilion, diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) melalui empat syarikat subsidiarinya (RM0.69 bilion).

FELDA menerusi dua syarikat subsidiarinya merekodkan kerugian bernilai RM0.17 bilion, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melalui lapan syarikat subsidiarinya mencatatkan kesusutan sebanyak RM0.14 bilion.

Sementara itu, 21 syarikat subsidiari bagi lima agensi Persekutuan mengalami kerugian bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2021.

Pada 2023, sebanyak 21 syarikat subsidiari iaitu 12 syarikat beroperasi di luar negara dan sembilan dalam negara mengalami kerugian bernilai RM970.55 juta.

Syarikat LTH Property Holdings 2 Limited dan LTH Property Holdings 3 Limited yang dimiliki TH mengalami kerugian akibat peningkatan rosot nilai hartanah pelaburan dipengaruhi kadar faedah dan inflasi semasa yang meningkat di United Kingdom (UK).

Tiga syarikat subsidiari milik KWSP, iaitu KWASA Europe S.à.r.l, KWASA Europe-I S.à r.l dan Naungan Sentosa Sdn Bhd mengalami kerugian akibat struktur modal syarikat subsidiari yang sebahagian besarnya dalam bentuk pinjaman pemegang saham.

KWSP sebagai pemegang saham tunggal syarikat mendapat pulangan dalam bentuk faedah pendapatan dan digunakan untuk membayar dividen kepada pencarum.

Ameen Direct Equity I, L.P. pula adalah dana baharu ditubuhkan pada 2021 dengan tumpuan pelaburan jangka panjang dan masih belum menjana pendapatan mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi.

Syarikat FIC Properties Sdn Bhd yang dimiliki FELDA mengalami kerugian kerana belanja kos kewangan pembiayaan dan penjejasan nilai pelaburan dalam syarikat bersekutu.

Syarikat subsidiari milik KWAP, iaitu Prima Harta 5 (Jersey) Unit Trust mengalami kerugian akibat peningkatan rosot nilai hartanah pelaburan yang berlaku selepas penurunan risiko pasaran hartanah di UK pada 2022 dan 2023, walaupun mencapai kadar penghunian bangunan konsisten sebanyak 99.6 peratus bagi kedua-dua tahun.

Dua syarikat subsidiari milik LTAT, iaitu Irat Properties Sdn Bhd dan Irat Hotels & Resorts Sdn Bhd mengalami kerugian akibat kos kewangan tinggi, kerugian nilai saksama ke atas pelaburan hartanah dan kerugian kredit dijangka.

Popular Posts - Last 7 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED